SELANGOR

Syukur ditaja YRMS, terkenang detik ibu gadai emas

OLEH ZAIM BADRUL HISHAM

KUALA SELANGOR, 27 APR: Penuntut Kolej Antarabangsa INPENS, Muhammad Iqbal Mohd Salleh, 19, menzahirkan rasa syukur apabila terpilih sebagai penerima biasiswa tajaan Yayasan Raja Muda Selangor (YRMS).

Pelajar jurusan Penyelenggaraan Teknologi Motosikal berkata, beliau masih teringat detik sukar ketika belajar sehingga ibunya terpaksa mengadai rantai emas.

“Dulu masa ambil Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) tahap satu pada 2018 belum dapat bantuan, jadi kena bayar sendiri, waktu itu susah, bayar sewa rumah tertangguh dan rantai emas mak pun terpaksa gadai untuk bayar yuran pembelajaran.

“Bermula awal tahun ini, Alhamdulillah YRMS taja yuran pembelajaran jadi dapat kurangkan beban keluarga,” katanya kepada SelangorKini.

Bagaimanapun, beliau berkata, kini beliau sedang cuba membuat rayuan kepada YRMS supaya turut memberi wang perbelanjaan makan dan minum selain daripada membiaya yuran pengajian.

Meskipun berlatarbelakangkan keluarga yang susah, ayahnya bekerja sebagai seorang penghantar barang (Despatch) dan ibu yang sedang sakit, namun anak jati Klang itu tidak pernah luntur semangat untuk meneruskan pembelajaran.

Beliau yang juga anak tunggal keluarga kini sedang mengambil SKM tahap dua dan dijangka selesai pada bulan Jun akan datang.

Iqbal turut bercita-cita membuka bengkel dan kedainya sendiri jika lulus SKM tahap dua nanti.

Sehingga kini, YRMS sudah menaja lebih 3,500 pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah (B40) di seluruh negara dengan memperuntukkan RM10 juta.

Mereka yang ingin memohon tajaan terbabit boleh layari laman rasmi YRMS di www.yrms.org.my atau Facebook Yayasan Raja Muda Selangor – RMS.

 


Pengarang :