Selangorkini
NASIONAL

Tingkat produktiviti, kecekapan atasi isu kos sara hidup

OLEH ZAIM BADRUL HISHAM

PUTRAJAYA, 22 APR: Meningkatkan produktiviti dan kecekapan adalah antara solusi utama dalam menyelesaikan isu kos sara hidup, kata Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna itu berkata, penyelesaian terbabit adalah alternatif kepada solusi meningkatkan pendapatan atau dasar gaji minimum.

Katanya, dengan meningkatkan produktiviti dan kecekapan, ia mampu menurunkan harga barang yang sampai kepada pengguna.

“Saya beri satu contoh ketika lawatan ke Shanghai, China, kami melawat JD.com, salah satu syarikat peniagaan dalam talian terbesar di China. Ada 15 gedung seluruh China.

“Mereka hantar barang jualan melalui robot dan dron. Pembeli boleh tempah pelbagai barang termasuk ikan, sayur, ayam, telur dan beras malah jenis penghantaran pun boleh pilih.

“Dron mereka boleh tampung sehingga 300 kilogram dan syarikatnya menjalankan kira-kira 220,000 transaksi sehari. Semua menggunakan robot, kecuali bahagian pembungkusan.

“Ini adalah kecekapan dan produktiviti, bila kos rendah dengan sendirinya harga barangan akhirnya rendah,” katanya pada Program Dialog YB Menteri KPDNHEP bersama media di Rumah Kelab KPDNHEP, di sini, hari ini.

Pada masa sama, beliau berkata, peningkatan pendapatan dan gaji turut mendorong kenaikan harga barang oleh peniaga lalu menyebabkan isu kos sara hidup tidak selesai.

“Pada tahun lalu kenaikan gaji pernah dibuat tetapi ia hanya cuma melegakan keadaan pada masa itu, kemudian tahun berikutnya pendapatan sebanyak itu tidak dapat menampung. Umumnya bila gaji naik, peniaga akan naikkan juga harga barang,” katanya.

FOTO: REMY ARIFIN (SELANGORKINI)

 


Pengarang :