NASIONAL

Anwar ingatkan pemimpin PAKATAN matang, kuat bawa perubahan

SHAH ALAM, 5 MEI: Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan barisan kepimpinan tertinggi Pakatan Harapan (PAKATAN) supaya bersikap matang dan kuat dalam menghadapi pelbagai cabaran ketika membawa perubahan dan pembangunan kepada negara.

Beliau berkata, sebagai pemimpin kerajaan, mereka juga seharusnya memberikan sokongan padu kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam menjayakan agenda yang telah dijanjikan kepada rakyat.

“Saya bersama rakan-rakan akan tentukan supaya apa (agenda) yang kita janjikan dalam manifesto (pada Pilihan Raya Umum ke-14) akan dilaksanakan, walaupun sebahagiannya telah dilaksanakan dan sebahagian lagi harus kita teliti dan laksanakan secara berperingkat.

“Tetapi pada prinsip dasarnya, kita tidak boleh tergelincir… we must honour our commitment to the people. We were given the mandate under that premise and we will gather and continue to struggle in defence of every single citizen of this country, no one should feel marginialised or neglected (kita hendaklah beri komitmen kepada rakyat. Kita diberi mandat di bawah premis itu dan kita akan kumpul dan terus perjuang untuk setiap rakyat negara ini, tidak seorang pun harus berasa dipinggirkan dan diabaikan),” katanya ketika berucap pada persidangan DAP 2019 di sini, hari ini.

Turut hadir, Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Dalam pada itu, Anwar turut menyeru pemimpin PAKATAN supaya sentiasa mengamalkan budaya bersih dan telus bagi mewujudkan keyakinan rakyat terhadap kerajaan baharu yang dipimpin parti itu.

Katanya, budaya itu harus dikekalkan supaya amalan lapuk kerajaan terdahulu tidak menjadi ikutan pemimpin kerajaan hari ini.

“Pembawaan negatif seperti sombong dan tamak kuasa juga harus dipinggirkan oleh kerajaan baharu bagi membolehkan usaha memacu pembangunan dan kemajuan negara dapat dicapai.

“…dan saya yakin, tempoh dalam beberapa tahun lagi rakyat akan tetap mempertahankan PAKATAN sebagai kerajaan yang harmoni,” katanya.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :