SELANGOR

Laksana program Taddabur hayati kesucian Ramadan

OLEH SHAFIQQUL ALIFF

GOMBAK, 5 MEI: Kerajaan Negeri memperkenalkan program Taddabur sempena ketibaan Ramadan bagi mengimarahkan masjid di seluruh Selangor, tahun ini.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, program itu bertujuan untuk mengimarahkan masjid di seluruh Selangor dengan mentaddaburkan ayat Al-Quran selain menyemai dan memupuk semangat kasih sayang dalam kalangan komuniti masyarakat berasakan tuntutan.

Katanya, ia adalah salah satu usaha Kerajaan Negeri di bawah inisiatif Team Selangor dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di sepanjang Ramadan.

“Kita memperkenalkan Taddabur Al-Quran ini bertujuan bagi menghayati isi kandungan Al-Quran sempena bulan penuh mulia ini.

“Jadi kita mahu bulan turunnya kitab suci Al-Quran iaitu Ramadan dijadikan landasan terbaik kepada komuniti dan masyarakat bagi memahami perincian serta pengisian Al-Quran yang sebenar,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis perasmian Prgram Menyemarak Ramadan Bersama Masjid dan Surau Negeri Selangor Peringkat Daerah Gombak, di Masjid Al-Amaniah, di sini.

Hadir sama, Tan Sri Wan Mahmood Pa’ Wan Teh; Pengarah JAIS, Dato’ Haris Kasim dan Pegawai Daerah Gombak, Dato’ Amirul Azizan Abd Rahim.

Pada masa sama, Amirudin berkata, masjid dan surau adalah dua institusi yang amat hampir dengan masyarakat.

Justeru, katanya, institusi itu akan menjadi dinamik dan imarah sekiranya pegawai serta ahli jawatankuasa yang mentadbir memahami hasrat Kerajaan Negeri supaya ia terus dikekalkan sebagai zon aman yang kondusif untuk umat Islam beribadah serta bersilaturrahmi.

Terdahulu, Selangor proaktif melaksanakan pelbagai program sempena Ramadan antaranya My Best Ramadan, Program Semarak Ramadan, Program Qariah Ramadan dan Program Menyemarak Ramadan.

Turut diadakan Program Tazkirah Dan Berbuka Puasa di Dataran Kemerdekaan Shah Alam selama hampir sebulan dan Program Muslimat.

FOTO: FIKRI YUSOF (SELANGORKINI)


Pengarang :