Selangorkini
SUKANKINI

Bekas atlet disaran daftar YAKEB

GEORGE TOWN, 7 MEI: Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb) menyeru bekas-bekas atlet yang belum mendaftar dengan yayasan itu untuk segera berbuat demikian bagi membolehkan bantuan disalurkan dan kebajikan mereka terpelihara.

Pengerusinya, Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed berkata selain bantuan dan kebajikan, pihaknya juga membantu bekas atlet untuk mendapatkan pekerjaan dan sebagainya.

“Bekas atlet ini memberi satu impak kepada atlet yang ada sekarang. Kalau kita tak jaga bekas-bekas atlet, atlet-atlet yang ada sekarang akan rasa bolehkah kerajaan persekutuan mahupun negeri jaga mereka selepas mereka bersara.

“Jadi, kita tak nak benda itu berlaku sebab itu kita nak bawa semua ke arus perdana supaya mereka dikenalkan balik dan jasa mereka dikenang,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri Soon Lip Chee di pejabatnya di Komtar, di sini hari ini.

Beliau turut menyampaikan khairat kematian RM5,000 masing-masing kepada isteri bekas pemain bola sepak negara Allahyarham Abd Aziz Azizan, Intan Mulyati Mansor, 39, dan wakil kepada bekas pemain hoki negara mendiang S B. Rajendran.

Noorul Ariffin berkata, kunjungan hormat itu antara lain untuk meminta bantuan kerajaan negeri bagi memudahkan bekas-bekas atlet negara untuk mendapatkan perumahan, pingat jasa kebesaran dan peluang-peluang pekerjaan.

“Hari ini kita mendapat sokongan daripada Yang Berhormat bukan sahaja bantuan dari segi duit, kita juga minta bantuan bagi sokongan perumahan, pingat jasa, peluang-peluang pekerjaan atau lesen daripada pihak berkuasa tempatan untuk membolehkan mereka meniaga.

“Bekas atlet juga ada menanyakan mengenai padang-padang untuk digunakan bagi kejurulatihan. Kita harap dapat pertimbangan kerajaan negeri untuk kami gunakan stadium dalam seminggu sekali untuk latihan pelajar sekolah dan atlet bagi meningkatkan prestasi mereka,” katanya.

Sementara itu, Soon berkata buat masa ini kerajaan negeri tidak mempunyai dana khusus untuk membantu bekas-bekas atlet di negeri ini.

Bagaimanapun, menurutnya beliau akan membangkitkan perkara itu dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri bagi mewujudkan satu jawatankuasa di bawah Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang.

“Menerusi jawatankuasa ini mungkin kerajaan negeri dan pihak swasta boleh salurkan sedikit dana…sama-sama kita bantu bekas-bekas atlet ini,” katanya.

– BERNAMA

 


Pengarang :