SELANGOR

Bina semangat perpaduan melalui wakil rakyat

OLEH NORHAYATI UMOR

SUBANG JAYA, 26 MEI: Bagi negara berbilang kaum, semangat menyemarakkan perpaduan sangat dititikberatkan sebagai benteng kesejahteraan hidup bermasyarakat.

Justeru, Ahli Dewan Negeri Subang Jaya, Michelle Ng bersama kakitangan dan penduduk turun padang melawat bazar Ramadan sekitar Subang Jaya untuk menyampaikan mesej perpaduan selain mengucapkan ucapan ‘selamat berpuasa’ kepada kaum Muslim.

Cantik mengenakan pakaian tradisional Melayu, Michelle menyedari bahawa rakyat mengharapkan ahli politik untuk membina perpaduan dalam kepelbagaian kaum yang ada dalam negara.

“Setahun saya berkhidmat sebagai wakil rakyat, ia memang sangat penting untuk kita menjaga perpaduan dan kita perlu berhenti memandang kepada perbezaan kaum.

“Rakyat merasakan bahawa ahli politik cepat mengkritik salah laku, tetapi tidak cepat untuk bergerak membina perpaduan negara.

“Justeru, sebagai wakil rakyat, kita perlu memainkan peranan penting untuk terus menyuburkan penyatuan pelbagai kaum,” katanya dalam lawatannya, baru-baru ini.

Walaupun mempunyai etnik dan kepercayaan berbeza, Michelle berharap, gerak kerja secara kecilan dengan melawat penduduk itu akan memberikan kepercayaan kepada masyarakat bahawa beliau suka menawarkan khidmat tanpa mengira warna kulit mahupun agama.

Beliau turut menggalakkan penduduk menyertainya untuk terus mengenali antara satu sama lain dengan lebih mendalam.

“Kita mesti melangkah keluar dari zon selesa. Kita harus melawat tempat ibadat satu sama lain, mengadakan dialog antara agama dan mengembalikan budaya rumah terbuka semasa acara kebudayaan.

“Inilah permintaan Malaysia Baharu. Ini adalah tanggungjawab kolektif, bukan hanya tugas ahli politik, tetapi tugas rakyat Malaysia,” katanya.

 


Pengarang :