Bung Moktar didakwa peroleh suapan RM2.8 juta pelaburan FELCRA | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang

Afeeqa Afeera

Bung Moktar didakwa peroleh suapan RM2.8 juta pelaburan FELCRA

KUALA LUMPUR, 3 MEI: Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin, hari ini dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini atas tiga pertuduhan memperoleh suapan berjumlah RM2.8 juta bagi mendapatkan kelulusan untuk Felcra Berhad melabur RM150 juta bagi menyertai produk unit amanah Public Mutual Berhad.

Bung Moktar, 60, atau nama sebenarnya Moktar Radin yang memakai sut berwarna hitam dan kelihatan tenang, mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan itu dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Rozina Ayob.

“Minta dibicarakan Yang Arif,” kata Bung Moktar selepas Rozina bertanya sama ada dia mengaku bersalah ataupun tidak atas pertuduhan berkenaan.


Bagi pertuduhan pertama, Bung Moktar, yang ketika itu merupakan Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra, didakwa secara rasuah memperoleh untuk dirinya suatu suapan iaitu wang tunai RM2.2 juta daripada ejen pelaburan Public Mutual, Madhi Abdul Hamid, 38, melalui isteri tertuduh iaitu Datin Seri Zizie Izette A. Samad, 41.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu sebagai upah bagi mendapatkan kelulusan daripada Menteri Kewangan II untuk Felcra membuat pelaburan sebanyak RM150 juta bagi menyertai produk unit amanah Public Mutual.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Public Bank Berhad, Cawangan Taman Melawati, No. 262-265, Jalan Bandar 12, Taman Melawati di sini, antara 12.30 tengah hari dan 5 petang, pada 12 Jun 2015.

Bagi pertuduhan kedua, Bung Moktar didakwa secara rasuah memperoleh untuk dirinya suatu suapan iaitu wang tunai berjumlah RM262,500 daripada individu sama, Madhi melalui akaun Public Islamic Treasures Growth Fund (PITGF) bernombor 044797816 yang didaftarkan atas nama Zizie Izette bagi tujuan serupa.

Bung Moktar juga dituduh secara rasuah memperoleh untuk dirinya suatu suapan iaitu wang tunai berjumlah RM337,500 daripada ejen pelaburan Public Mutual, Norhaili Ahmad Mokhtar, 42, melalui akaun Public Ittikal Sequel Fund (PITSEQ) bernombor 044797824 yang didaftarkan atas nama Zizie Izette bagi tujuan yang sama.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di lokasi sama pada 12.16 tengah hari dan 12.28 tengah hari, pada 19 Jun 2015.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Subseksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Umar Saifuddin Jaafar menawarkan jaminan RM100,000 dan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Peguam Datuk K. Kumaraendran tidak membantah jumlah jaminan berkenaan.

Rozina membenarkan Bung Moktar diikat jamin RM100,000 dengan seorang penjamin dan memerintahkan tertuduh menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai.

“Perjalanan ke luar negara juga tidak dibenarkan,” kata hakim itu yang kemudiannya menetapkan 10 Jun untuk sebutan semula kes bagi penyerahan dokumen.

Sementara itu, Umar Saifuddin turut memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihaknya akan membuat permohonan secara formal supaya kes Bung Moktar akan dibicarakan bersama dengan kes isterinya, Zizie Izette.

“Isteri Bung Moktar juga dituduh hari ini di Mahkamah Sesyen berasingan. Pihak pendakwaan akan mengemukakan permohonan supaya kes itu dibicarakan bersama,” katanya.

Penjamin yang merupakan rakan karib kepada Bung Moktar akan membayar wang jaminan itu.

Prosiding yang bermula pada 8.50 pagi turut dihadiri bekas Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin.

-BERNAMA

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

BERITA BERKAITAN

Prev
Next