NASIONAL

Cermat tunggang motosikal, elak tragedi di lebuh raya

OLEH AFIX REDZUAN

SUBANG, 24 MEI: Pengguna lebuh raya PLUS Malaysia Berhad (PLUS) khususnya penunggang motosikal dinasihatkan supaya berhati-hati sepanjang perjalanan bagi mengelakkan kemalangan terutama di lorong kecemasan.

Ketua Pegawai Operasi, Zakaria Ahmad Zabidi berkata, penunggang motosikal merekodkan kematian lebih 60 peratus berdasarkan statistik kemalangan di lebuh raya dan diharapkan jumlah itu mampu diturunkan tahun ini.

“Berdasarkan statistik Ops Selamat 2018, sejumlah 543 kemalangan direkodkan dengan tujuh kematian berbanding 24 kematian pada 2017.

“Tahun lalu juga merekodkan lebih 60 peratus kemalangan maut membabitkan penunggang motosikal. Untuk 2019, Ops Selamat akan dilakukan bermula 29 Mei sehingga 12 Jun hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Persediaan PLUS menghadapi pertambahan Trafik dan Kempen Aidilfitri di Dewan Bankuet, Persada PLUS, hari ini.

Menurutnya, penunggang motosikal dinasihatkan untuk melakukan perjalanan pada siang hari, memakai pakaian cerah atau pantul cahaya serta mengelak dari menggunakan lorong kecemasan.


Pengarang :