SUKANKINI

Cub Prix: Syafiq buru kemenangan kedua

SHAH ALAM, 2 MEI: Md Syafiq Rosli berhasrat untuk meneruskan momentum kemenangan dalam saingan CP115 pada pusingan ketiga Kejuaraan Cub Prix Malaysia PETRONAS di Litar Tangkak, Johor pada esok dan Sabtu ini.

Md Syafiq yang beralih ke pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor berjaya meraih kemenangan sulungnya dalam kategori CP115 setelah menjuarai perlumbaan pusingan kedua di Batu Kawan sekali gus memperbaharui pencapaian terbaik meraih dua penamat di kedudukan ketiga yang direkod pada musim lalu.

“Saya mahu buktikan yang kemenangan ini bukan nasib semata-mata.

“Pasukan telah menyediakan jentera terbaik dan sangat kompetitif, jadi saya hanya perlu menjalankan tugas sebaik mungkin sebaik keluar ke litar,” kata pelumba berusia 22 tahun itu.

Syafiq berkata, setakat ini semua berjalan lancar sejak beralih ke pasukan baharu pada musim ini dan saingan sewaktu pusingan pembukaan juga sangat kompetitif namun malang dirinya gagal menamatkan saingan.

“Selain itu saya juga mahu meletakkan pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor kembali menjadi pasukan disegani dalam kelas ini dan menamatkan dominasi penguasaan pasukan YY Pang. Mudah-mudahan semuanya berjalan lancar pada minggu ini,” katanya.


Pengarang :