SELANGOR

Kariah masjid syukur terima van jenazah baharu

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

BUKIT JELUTONG, 10 MEI: Penantian kariah masjid untuk mendapat van jenazah baharu berakhir apabila menerima kemudahan berkenaan daripada Lembaga Zakat Selangor (LZS), hari ini.

Pengurus Masjid Bandar Baru Sungai Buloh, Muhd Asyraf As’aid Zainuddin berkata, pihaknya pernah membuat permohonan mendapatkan van jenazah sebelum ini, namun gagal atas beberapa faktor.

Katanya, sepanjang tempoh itu, pengurusan jenazah di kawasan berkenaan banyak dibantu kariah dan badan khairat daripada surau berhampiran.

“Alhamdulillah, kami sangat bersyukur dapat bantuan ini daripada LZS kerana sejak sekian lama memang tiada kenderaan dan van jenazah. Sebagai pengurus masjid, saya berterima kasih kepada LZS kerana prihatin dengan masalah yang dihadapi pengurusan masjid.

“Saya mengharapkan dengan adanya bantuan van jenazah ini dapat memudahkan urusan anak-anak kariah terutama berkaitan pengurusan jenazah termasuk pengambilan dan penghantaran jenazah dari rumah atau hospital ke masjid serta tanah perkuburan,” katanya ketika ditemui Selangorkini.

Sementara itu, Pengurus Masjid Al-Falah Ulu Yam Baru, Habibu Rahman berkata, masjid berkenaan mempunyai van jenazah, namun ia dalam keadaan terlalu uzur dan berusia lebih 10 tahun.

Katanya, van jenazah sedia ada juga sering mengalami kerosakan sehingga menyukarkan urusan pengebumian jenazah.

“Van jenazah perlu sentiasa diperbaharui sekurang-kurangnya lima hingga enam tahun sama ada van itu digunakan atau tidak kerana mengikut usia, ia akan memberi korosakan.

“Kita juga berharap LZS boleh memberi kemudahan sama kepada surau kerana mereka juga memerlukan kemudahan seperti ini, mudah-mudahan LZS boleh mengembangkan sayap sumbangan kepada surau,” katanya.

Pada masa sama, beliau turut melahirkan rasa syukur atas sumbangan disalurkan LZS, selain menyifatkan bantuan itu adalah sesuatu yang wajar dibanggakan dan dihargai.

“Semoga Allah SWT memudahkan pengutip zakat supaya mreka dapat menyumbang dan membantu yang sangat memerlukan baik daripada segi institusi mahupun individu dengan cara lebih teratur,” katanya.

Terdahulu, LZS menyerahkan 29 van jenazah bernilai RM4.5 juta kepada masjid terpilih meliputi sembilan daerah, di negeri ini.


Pengarang :