SELANGOR

KDEBWM rai 800 kakitangan sempena Ramadan

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 12 MEI: KDEB Waste Management Sdn Bhd (KDEBWM) meraikan lebih 800 kakitangan termasuk keluarga berbuka puasa di Hotel Concorde, di sini sempena Ramadan kali ini.

Pengarah Urusannya, Ramli Mohd Tahir berkata, ia sebagai penghargaan dan ucapan terima kasih kepada kakitangan yang telah melaksanakan tugas dan tanggungjawab untuk merealisasikan amanah diberikan.

Katanya, ia juga Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) syarikat bagi warga kerja dan keluarga disamping dapat merapatkan ukhuwah dan silaturahim.

“Program ini dilihat dapat memberi peluang kakitangan merehatkan minda setelah saban hari menjalankan tugas hakiki mereka.

“Terima kasih kepada ahli keluarga kakitangan KDEBWM yang sentiasa bersabar menanti suami, abang mahupun adik mereka yang balik dari bekerja setiap hari.

“Ini kerana kerja yang dilakukan mereka ini adalah 24 jam sehari, ia amat mencabar, terima kasih,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Iftar KDEBWM 2019, di sini, hari ini.

Ramli berkata, pada masa sama pihaknya turut berbesar hati memberi sumbangan kepada 76 anak yatim dan asnaf dari Setia Alam, Hulu Selangor dan Kota Damansara.

“Kali ini juga kami turut meraikan wakil media antaranya Media Selangor, Sinar Harian, RTM dan The Star yang telah membuat liputan berhubung operasi, aktiviti dan program kami.

“Kerjasama dari mereka dilakukan bagi memastikan Selangor sentiasa bersih selaras dengan motto KDEBWM ‘Together We Keep Selangor Clean’,” katanya.


Pengarang :