SANDAKAN, 3 Mei — Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng ketika menyampaikan ceramah sempena kempen Pilihan Raya Kecil Parlimen P186 Sandakan di Indah Jaya malam tadi. — fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA
NASIONAL

Kerajaan tak main silap mata pulih ekonomi negara

SANDAKAN, 3 MEI: Kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak bermain silap mata untuk memulihkan ekonomi negara dalam masa singkat ekoran menanggung hutang tinggi yang diwarisi daripada Barisan Nasional (BN).

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, kerajaan PH memerlukan sedikit masa untuk merancang bagi mengurangkan bebanan hutang selama puluhan tahun di bawah kerajaan terdahulu dan memulihkan ekonomi negara.

“Bebanan hutang oleh kerajaan BN tidak diselesaikan dalam tempoh setahun​,” katanya pada ceramah umum DAP pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sandakan, di sini, malam tadi.

Hadir sama, calon DAP PRK Sandakan, Vivian Wong Shir Yee dan Penasihat DAP Pusat, Lim Kit Siang.

Guan Eng, yang juga setiausaha agung DAP berkata, negara dirompak oleh kerajaan lama sehingga menanggung hutang RM150 bilion termasuk hutang 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

“Akibat skandal dan kepentingan peribadi pemimpin kerajaan sebelum ini menyebabkan negara sakit.

“Kita usaha kurangkan hutang ini. Beri kami masa sekurang-kurangnya tiga tahun untuk memulihkan ekonomi negara ke landasan betul dan bangkit sebagai Harimau Asia,” katanya.

Namun, beliau berkata, beban hutang itu tidak menghalang kerajaan meneruskan projek pembangunan demi kesejahteraan rakyat.

Pada masa sama, Guan Eng turut membidas parti lawan iaitu Parti Bersatu Sabah (PBS) yang menggunakan modal menghentam peribadinya untuk berkempen di PRK Sandakan.

“Mereka tiada modal lain. Apa yang saya tidak cakap pun hentam saya, justeru kita kena tolak parti lawan (PBS) yang merupakan saki baki kerajaan lama yang gagal menentang rasuah di Sabah dan Persekutuan,” tegasnya.

Beliau berkata, Kerajaan Persekutuan di bawah PH memastikan sistem penyampaian projek pembangunan yang dilaksanakan bukan cakap kosong sahaja.

-BERNAMA


Pengarang :