NASIONAL

Matrikulasi penting bagi keharmonian kaum

SHAH ALAM, 20 MEI: Program matrikulasi yang memberi peluang kepada pelajar bumiputera tidak wajar dilihat melalui kacamata perkauman kerana peranan besarnya adalah untuk mengekalkan keharmonian negara melalui penglibatan saksama antara semua kaum dalam bidang sains, teknologi dan profesional.

Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof Dr Mohd Azraai Kassim berkata, jurang nisbah mengikut kaum yang terlibat dalam bidang sains, teknologi dan profesional masih ketara di mana kaum bumiputera masih ketinggalan.

“Seperti contohnya, dalam bidang perubatan, mengikut sumber Majlis Perubatan Malaysia pada 2018, terdapat 24,891 golongan bumiputera berbanding 48,228 kaum lain, mengikut sumber Lembaga Jurutera Malaysia pada 2017, terdapat hanya 36,024 bumiputera berbanding dengan 101,478 kaum lain yang terlibat dalam bidang profesional itu.

“Jarak jurang ini perlu dirapatkan demi untuk mewujudkan keharmonian agar keresahan dan kesangsian dalam masyarakat dapat dibendung,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Sehubungan itu, Mohd Azraii berkata sensitiviti perkauman perlu dijaga agar ia tidak diperalatkan demi kepentingan sempit yang hanya akan menimbulkan keresahan dalam kalangan masyarakat.

Katanya lagi, golongan yang mempersoalkan tindakan Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik yang mempertahankan kuota matrikulasi untuk bumiputera perlu melihat agenda negara yang lebih besar dari hanya menjadikan ia sebagai isu perkauman yang sempit.

“UiTM menggesa semua pihak agar lebih berhati-hati dan tidak mempolemikkan pendidikan negara dan mengikut panduan keharmonian dan keadilan sosial seperti yang termaktub dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Katanya, jika hal ini berlanjutan, kita akan hanya menghabiskan usaha dan tenaga berbalah dengan prejudis sehingga menjejaskan usaha kerajaan yang bersungguh-sungguh untuk mewujudkan keadilan sosial demi Malaysia baharu

– BERNAMA


Pengarang :