BERITA UTAMANASIONALSELANGOR

MB sampaikan sumbangan Ihya Ramadan RM77,500

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 27 MEI: Sebanyak 10 masjid dan 11 surau lagi menerima sumbangan Ihya Ramadan berjumlah RM77,500 daripada Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) yang diadakan sempena Ramadan tahun ini.

Ia disampaikan oleh Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari dalam kunjungan Ziarah Mahabah Ramadan di Masjid Al-Husna, Bangunan SUK 2, di sini.

Selain sumbangan masjid, MBI turut mengedarkan 800 bungkus juadah berbuka puasa kepada kakitangan bangunan berkenaan.

Amirudin berkata, sumbangan tanggungjawab sosial korporat (CSR) MBI itu sebagai tanda syukur akan nikmat diperolehi pihak syarikat.

“Aktiviti sebegini amat digalakkan kerana ia dapat menghidupkan amalan sedekah lebih lagi berkongsi makanan.

“Ia sebagai tanda bersyukur akan nikmat dan hasil yang diberikan selama ini. Cara yang dipraktikkan ini menjadi budaya masyarakat Selangor,” katanya ketika ditemui di program berkenaan.

Hadir sama, Ketua Pegawai Operasi MBI, Soffan Affendi Aminudin dan Ketua Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) MBI, Mohd Jaafarudin Mohd Ali.

Pada masa sama, Amirudin mahu semangat dan amalan bersedekah itu dapat diwujudkan dalam kalangan mereka yang berkemampuan bukan hanya pihak kerajaan.

Sementara itu, Mohd Jaafarudin berkata, sumbangan masjid dan surau itu merupakan penutup bagi program Ihya Ramadan MBI.

“Sebagai simboliknya kita menjemput Dato’ Menteri Besar untuk menyerahkan kepada pihak masjid dan surau yang masih belum menerima.

“Ini merupakan program tahunan kita dan kita komited untuk meneruskannya pada masa akan datang,” katanya.


Pengarang :