PBTSELANGOR

MBSA santuni 84 warga kerja kurang bernasib baik

OLEH IZRIN MOHAMAD SAID

SHAH ALAM, 10 MEI: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menyantuni 84 warga kerjanya yang kurang bernasib baik dengan menghulurkan bantuan Ramadan, hari ini.

Bantuan berbentuk wang tunai RM300 melalui sumbangan tabung majikan itu diserahkan Timbalan Datuk Bandar Shah Alam, Mohd Rashidi Ruslan.

Mohd Rashidi berkata, ia adalah inisiatif MBSA bagi meringankan beban mereka sepanjang Ramadan dan persiapan sempena Aidilfitri yang bakal tiba.

“Ramadan adalah bulan penghayatan bagi menghargai setiap apa yang dimiliki dan berkongsi rasa terhadap kesusahan dialami mereka kurang bernasib baik.

“Saya mohon kepada warga kerja yang lain menitipkan doa kepada mereka ini dimurahkan rezeki dan diberikan kekuatan dalam menjalani kehidupan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Berbuka Puasa Iftar Jamaei di Hotel Concorde di sini, hari ini.

Pada masa sama, Mohd Rashidi berkata, sumbangan itu adalah satu landasan keprihatinan MBSA kepada warga kerjanya yang memerlukan bantuan serta mengeratkan hubungan antara majikan dan pekerja.

Sumbangan diberikan berdasarkan kriteria ditetapkan seperti ibu atau bapa tunggal, warga kerja yang mempunyai anak istimewa, berstatus orang kelainan upaya (OKU), mempunyai penyakit kronik, mualaf dan pasangan yang tidak mampu bekerja selepas kemalangan.

Hadir sama, Ahli-Ahli Majlis, pengarah jabatan dan kakitangan jabatan MSBA serta diserikan dengan Tazkirah Ramadan oleh penceramah jemputan Dai TV3, Ustaz Muhammad Luqman Hakim Othman.


Pengarang :