GLOBAL

Mesir sedia bantu pastikan peralihan kuasa Sudan lancar

KAHERAH, 15 MEI: Presiden Mesir, Abdel-Fattah al-Sisi berkata negaranya bersedia untuk memberi bantuan kepada Sudan bagi memastikan fasa peralihan kuasa di negara itu berjalan lancar.

Katanya, ketika ini adalah sesuatu yang amat penting untuk memastikan kestabilan dan keselamatan di Sudan, lapor agensi berita Xinhua.

Beliau berkata demikian semasa mesyuarat antara Sisi dengan Pengerusi Panel Pelaksanaan Peringkat Tertinggi Kesatuan Afrika (AU), Thabo Mbeki di Kaherah, semalam.

Dalam satu kenyataan rasmi, jurucakap presiden Mesir Bassam Rady berkata Sisi dan Mbeki membincangkan usaha Mesir untuk menyokong Sudan, terutama melalui sidang perundingan yang dihoskan Kaherah April lalu.

Sudan dibelenggu ketidakstabilan selepas Presiden Omar Al-Bashir disingkirkan bulan lalu.

Sementara itu, bekas presiden Afrika Selatan, Mbeki memuji peranan penting dimainkan Mesir dalam menjamin keamanan dan keselamatan di Afrika, terutama semasa beliau menjadi presiden AU.

— BERNAMA

 


Pengarang :