NASIONAL

MOA sedang teliti model terbaik majukan tanah pesawah warga emas

PENDANG, 30 Mei: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani sedang meneliti untuk mengenal pasti model terbaik bagi menyatukan tanah milik pesawah warga emas di negara ini supaya berada di bawah satu tadbir urus lebih baik.

Menterinya Datuk Salahuddin Ayub berkata langkah itu juga sebagai salah satu usaha untuk memajukan tanah pesawah berkenaan bagi menarik minat golongan muda melibatkan diri dalam sektor pertanian sawah padi.

“Dalam data kementerian kita, warga emas ini secara purata memiliki dua hektar sawah padi dan ia sangat kecil…(jadi) sekarang kita sedang meneliti beberapa model seperti mini estet padi dan model lain di negara luar supaya tanah kecil ini dapat disatukan di bawah satu tadbir urus.

“Beri peluang kepada mereka berminat untuk mengusahakan tanah sawah (tersebut nanti), dan saya percaya ia dapat atasi isu pesawah dimamah usia ini, di samping model ini nanti menggamit perhatian anak muda untuk menjadi pesawah moden,” katanya pada sidang media selepas berjumpa dengan peladang Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) di sini hari ini.

Turut hadir Pengurus Besar Mada Datuk Fouzi Ali.

Salahuddin berkata setakat ini terdapat sebanyak 80 peratus pesawah warga emas yang berada dalam kawasan Mada Kedah dan Perlis.

Sementara itu, beliau berkata kini terdapat ramai golongan muda sudah berani menyewa tanah untuk menanam padi dalam skala besar apabila terdapat 6,000 pesawah muda bagi kawasan Mada Kedah dan Perlis.

“Kebanyakan mereka menyewa tanah untuk sawah padi ini dalam lima hektar ke atas,” katanya. -BERNAMA


Pengarang :