NASIONAL

Petani dan nelayan disaran mencarum Perkeso

 

KOTA MARUDU, 27 Mei: Golongan petani dan nelayan di daerah ini disarankan agar mencarum dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bagi menjamin kebajikan mereka pada masa hadapan.

Anggota Dewan Undangan Negeri Tandek Datuk Anita Baranting berkata ini dengan adanya peraturan baharu yang membolehkan golongan petani dan nelayan mencarum di bawah Perkeso.

Katanya sekiranya berlaku kejadian tidak diingini, pencarum atau waris akan mendapat manfaat selain wang pampasan yang dapat meringan beban dan mengurangkan penderitaan hidup.

“Kita galakkan agar mereka (petani dan nelayan) mengambil peluang yang disediakan kerajaan melalui Perkeso,” katanya kepada Bernama selepas majlis penyerahan cek feadah dan bayaran pengurusan jenazah kepada 30 penerima di Pejabat Perkeso di sini, hari ini.

Ini antaranya membabitkan tujuh penerima cek pampasan ketidakupayaan dan khairat kematian yang keseluruhannya berjumlah RM11,873.

Sembilan belas lagi menerima pampasan gaji sejumlah RM19,621 dan selebihnya adalah penerima bantuan berupa peralatan sokongan dan keperluan harian.

Sementara itu, Pengurus Perkeso Cawangan Kota Marudu David Kimon berkata sehingga kini seramai 100,000 pencarum telah berdaftar kepada Perkeso di daerah ini.

Salah seorang penerima adalah Suainey Mohd Rashid, 50, ibu kepada Mohd Sharmizal Perkasa yang maut dalam kemalangan semasa balik kerja menerima pampasan tunai RM3,033.

Suainey menyifatkankan wang pampasan itu dapat membantu meringankan penderitaan dan kos pengkebumian anaknya.

Seorang lagi penerima Willentoh Matangin, 35, pekerja kilang di Kota Belud yang menerima pampasan gaji berkata sumbangan itu sedikit sebanyak membantu bagi menampung menyara keluarganya sementara mencari pekerjaan lain. -BERNAMA


Pengarang :