SELANGOR

PKNS agih RM200,000 zakat perniagaan bantu 10 surau, 13 asnaf

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 10 MEI: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) mengagihkan sumbangan zakat perniagaan berjumlah RM200,000 kepada 10 surau di seluruh Selangor dan 13 asnaf di bawah Teraju Ekonomi Asnaf Sdn Bhd (TERAS).

Pengurus Komunikasi Korporatnya, Ishak Hashim berkata, sumbangan berkenaan antara Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) yang diadakan secara tahunan memandangkan sebelum ini penerimanya terdiri daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan rumah anak yatim.

Katanya, ia juga adalah inisiatif untuk menyumbang kembali kepada masyarakat, terutama sempena Ramadan penuh barakah.

“Tahun ini sedikit kelainan kerana PKNS menyampaikan sumbangan dengan jumlah keseluruhan RM50,000 kepada surau yang dibina di kawasan perumahan dan pembangunan 11 bandar yang adalah Pusat Pertumbuhan Baharu PKNS kerana mereka belum menerima apa-apa sumbangan daripada pihak kami.

“Setiap surau berkenaan masing-masing menerima sumbangan berjumlah RM5,000, manakala sumbangan kepada TERAS adalah dalam bentuk bantuan latihan dan modal perniagaan berupa pembelian peralatan perkhidmatan cucian fabrik kepada 13 asnaf fakir miskin di Lembaga Zakat Selangor (LZS) berjumlah RM150,000,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Iftar Ramadan PKNS 2018 di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) dihadiri lebih 1,000 anggota kerja PKNS di sini, hari ini.

Terdahulu, majlis penyerahan replika cek disempurnakan Ketua Pegawai Eksekutif PKNS, Dato’ Mohd Azizi Mohd Zain sambil disaksikan Ketua Pegawai Operasinya, Norita Mohd Sidek.

Antara surau menerima zakat berkenaan adalah Surau Al-Ehsan Seksyen 20 Shah Alam; Musolla Al-Islah PKNS Seksyen 7 Shah Alam; Surau Al-Amin Seksyen 18 Shah Alam; Surau Ar-Raudhah Seksyen 24 Shah Alam dan Surau Ar-Rahman Seksyen 7 Shah Alam.

Turut menerima sumbangan, Surau Ar Ridzuan Seksyen 6 Bandar Baru Bangi; Surau Al-Hidayah AU3 Ampang Ulu Klang; Madrasah Al-Ehsaniah AU3 Ampang Ulu Klang; Surau Al-Ikhlas Taman Dagang Ampang dan Surau An Nur Seri Perantau Pelabuhan Klang.

Pada masa sama, Ishak berkata, pihaknya meneruskan kesinambungan program amal itu dan berkongsi rezeki dengan membantu golongan memerlukan bagi memberi peluang kepada mereka untuk turut merasai nikmat keberkatan Ramadan.

“Sumbangan ini dapat membantu penerima di mana secara tidak langsung mengurangkan kekangan kewangan dihadapi mereka.

“Acara tahunan ini juga menjadi medan merapatkan ukhuwah dalam kalangan anggota PKNS. Selain berbuka puasa, kita mengadakan tazkirah Ramadan, persembahan artis dan solat Isyak serta Tarawih berjemaah,” katanya.

FOTO: REMY ARIFIN (SELANGORKINI)


Pengarang :