SELANGOR

236 peniaga laksana kempen bebas penyedut minuman plastik

OLEH SHEEDA FATHIL

PUCHONG, 10 MEI: Seramai 236 peniaga di 16 lokasi bazar Ramadan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) menjayakan Kempen Bebas Penyedut Minuman Plastik.

EXCO Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam Dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han berkata, inisiatif dilaksanakan MPSJ dengan memulakan kempen itu di bazar Ramadan seharusnya dipuji.

Katanya, memandangkan bazar Ramadan adalah tempat tumpuan orang ramai dan pelaksanaan program kesedaran seperti itu amat baik.

“Saya berharap inisiatif kempen bebas penyedut minuman plastik dapat diperluaskan ke seluruh bazar Ramadan lain dan pasar pagi atau pasar malam seluruh Selangor pada masa akan datang.

“Kerajaan Negeri juga merancang mahu menjadikan Selangor bebas penyedut minuman plastik namun ia bukan di bawah portfolio saya, mungkin nanti EXCO Alam Sekitar akan umumkan bila,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Melancarkan Kempen Bebas Penyedut Minuman Plastik di Majlis Kunjungan Mesra Bazar Ramadan Mampan MPSJ 2019 di Bazar Ramadan Bandar Kinrara, Jalan BK 5 A/1, di sini.

Beliau yang juga merangkap Ahli Dewan Negeri Kinrara berkata, selain bebas penyedut minuman plastik, usaha MPSJ meneruskan inisiatif hijau ke arah bazar Ramadan mampan sejak 2014 seharusnya dipuji.

Sejak 2014, MPSJ masih meneruskan inisiatif hijau antaranya membawa bekas makanan sendiri ke bazar, tiada penggunaan polisterina di bazar, pengurangan beg plastik dan kempen kesedaran kitar semula minyak masak.

FOTO: HAFIZ OTHMAN (SELANGORKINI)


Pengarang :