NASIONAL

Polis rampas dadah sintetik bernilai lebih RM600,000

KUALA LUMPUR 16 Mei: Polis menahan dua lelaki dan merampas hampir 40,000 pil Erimin 5 dan dadah sintetik lain yang kesemuanya dianggar bernilai lebih RM600,000 dalam operasi di sekitar Lembah Klang, sekali gus menumpaskan sebuah sindiket dadah tempatan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur Asisten Komisioner Adnan Azizon berkata, antara dadah lain yang dirampas ialah pil ekstasi, pil yaba dan serbuk ekstasi serta serbuk ketamin.

Beliau berkata, seorang lelaki berusia 25 tahun ditahan dalam operasi pada pukul 6 petang di tempat letak kereta pasar raya Jalan Metro Prima, Taman Kepong Isnin lepas dan polis menemui satu plastik hitam mengandungi 5,000 biji pil Eramin 5 seberat 1.4 kilogram di dalam sebuah kereta.

“Susulan penahanan itu, polis menyerbu sebuah rumah di Jalan Robertson dan menemui dadah jenis ketamin seberat 64 gram,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata, seorang lagi lelaki ditahan pada pukul 8.20 malam di tempat letak kereta sebuah pasar raya di Damansara Jaya, Petaling Jaya dan polis merampas 34,750 biji pil Erimin 5 seberat 10 kilogram dalam sebuah kereta.

Adnan berkata, berdasarkan maklumat daripada suspek kedua, polis menyerbu sebuah kondominium di Jalan SS 20/27, Petaling Jaya dan menjumpai 100 biji pil ekstasi (43 gram), pil yaba (50 biji) dan serbuk ekstasi seberat 1.36 gram.

Beliau berkata polis turut menyita tiga kereta termasuk sebuah Mercedes CLK2000, seutas jam tangan, seutas gelang emas, dua bentuk cincin berwarna keemasan dan wang tunai matawang tempatan dan luar negara dianggar lebih RM100,000.

Kedua-dua lelaki yang ditahan itu tidak mempunyai rekod jenayah dan hasil siasatan awal polis mendapati mereka baru bergiat aktif sejak tiga bulan lepas.

“Seorang daripadanya positif dadah,” katanya sambil memberitahu kedua-dua lelaki terbabit kini direman dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati. – BERNAMA


Pengarang :