BERITA UTAMASELANGOR

RMS berkenan serah RM33,642 bantu Anuar Abu Bakar

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 4 MEI: Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah berkenan menyampaikan sumbangan Tabung Lagenda Anuar Abu Bakar berjumlah RM33,642 bagi meringankan beban keluarga legenda Selangor itu yang kini menghidap penyakit kanser hati.

Baginda menyerahkan replika cek sumbangan kepada anak kedua Anuar, Amriq Shah Anuar, yang ditemani adiknya Iman Shah Anuar, sebelum sepak mula perlawanan Liga Super 2019 antara Selangor menentang Melaka United di Stadium Shah Alam.

Daripada jumlah itu, RM17,642 adalah sumbangan RM1 daripada jualan tiket tiga siri perlawanan liga ketika Red Giants menentang Terengganu, Perak dan PKNP di laman sendiri.

Manakala RM16,000 lagi sumbangan orang ramai melalui program dianjurkan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) sejak tabung berkenaan dilancarkan, pada 27 Mac lalu.

Amriq yang ditemui media selepas majlis penyerahan merakamkan penghargaan kepada semua pihak terutama Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) dan MBSA yang menghulurkan sumbangan bagi meringankan beban bapanya.

Katanya, bapanya perlu menjalani proses rawatan di hospital selama dua hari setiap minggu.

“Proses pemulihan ayah (Anuar) berjalan lancar dan dia nampak kuat serta boleh berjalan.

“InsyaAllah kita akan cuba sebaik mungkin untuk mengubatinya dan doktor turut menasihatkan supaya banyak berehat,” katanya.

Anuar, 48, pernah membantu Red Giants menjadi Juara Piala Liga Premier dan Juara Piala Malaysia selain menyarung jersi pasukan Johor, Pulau Pinang serta Kelantan.

Anak kelahiran Muar, Johor ini juga pernah mewakili Malaysia ke Kejohanan Piala Kemerdekaan (1995), Sukan SEA di Thailand (1996) dan Kejohanan Piala Tiger di Singapura (1996).

Mereka yang berhasrat untuk menghulurkan sumbangan boleh berbuat demikian ke akaun Maybank 114348093007 (Siti Mariam Sathawee).


Pengarang :