Sembunyi dadah dalam dubur, lelaki nekad terjun bangunan | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang

Naeem Raffi

Sembunyi dadah dalam dubur, lelaki nekad terjun bangunan

KUALA LUMPUR, 11 MEI: Seorang lelaki yang nekad terjun dari tingkat dua sebuah premis di Lorong Haji Taib 1 di sini semalam ditahan kerana didapati menyembunyikan sejumlah dadah dalam duburnya.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Mohd Fahmi Visunathan Abdullah berkata suspek berusia 42 tahun itu terjun melalui tingkap bagi mengelak ditahan pada kira-kira pukul 10.15 pagi.

“Polis kemudiannya memanggil ambulans untuk membawa suspek ke Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan kerana retak tulang punggung dan kedua-dua belah kaki.


“Ketika pemeriksaan, pasukan perubatan menjumpai satu bungkusan plastik dadah jenis heroin dan satu balutan sellotape warna biru dipercayai methamphetamine dalam dubur suspek,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Fahmi berkata, pegawai perubatan kemudian membuat laporan dan menyerahkan dadah yang ditemui itu kepada pihak polis.

Mohd Fahmi berkata, suspek yang mempunyai rekod jenayah berkait dadah kini direman selama empat hari sehingga Selasa untuk siasatan lanjut.

“Rakan suspek iaitu seorang lelaki dan wanita yang berada di premis itu juga ditahan bagi membantu siasatan,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39A(1) Akta dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

– BERNAMA

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

BERITA BERKAITAN

Prev
Next