GLOBAL

Sindiket penipuan asmara cuba bertapak di Malaysia selepas dibanteras di Thailand

BANGKOK, 29 MEI: Rakyat Thailand kerugian 162.2 juta baht (100 baht=RM13.2) oleh kegiatan penipuan ‘kekasih siber’ sejak Jun tahun lepas.

Sebanyak 306 kes penipuan asmara dilaporkan kepada Pasukan Tindakan Khas bagi Penumpasan Jenayah Teknologi Maklumat (Tactics) pejabat Polis Diraja Thai manakala 252 orang penipu telah diberkas daripada Jun tahun lepas sehingga kini.

Kira-kira 4.5 juta baht dilarikan daripada 23 orang yang menjadi mangsa penipuan asmara itu.

Sepanjang enam bulan terakhir tahun lepas, sebanyak 245 kes telah dilaporkan kepada Tactics.

Pihak polis dan imigresen kemudian menjalankan operasi pembanterasan ke seluruh negara terhadap mereka yang menjalankan kegiatan penipuan asmara ini.

Panglima Pasukan Imigresen 3 Polis Diraja Thailand Pol Maj Gen Archayon Kraithong berkata ekoran itu jumlah penipuan asmara yang dilaporkan kepada Tactics telah menjunam secara mendadak.

Beliau berkata bagi lima bulan pertama tahun ini, sejumlah 61 kes dilaporkan dan pada bulan April, terdapat hanya lima kes dilaporkan berbanding purata 40 kes setiap bulan tahun lepas.

“Sekarang, kebanyakan mereka (penipu) memindahkan pangkalan mereka ke Malaysia, namun ada yang masih ada di Thailand,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Sebagai contoh, katanya pada Januari lepas, polis Thailand menyertai rakan sejawatnya di Malaysia untuk membongkar kegiatan sekumpulan warga Nigeria yang mengendalikan sindiket penipuan asmara dalam talian yang membabitkan sejumlah 100 juta baht di Kuala Lumpur.

Operasi itu membawa kepada penangkapan tujuh warga Nigeria dan tujuh orang wanita Thailand. Mereka adalah kumpulan sama yang melarikan diri dari Thailand setahun lalu dan menubuhkan pangkalan di Kuala Lumpur.

Archayon yang juga setiausaha Tactics berkata di Thailand penipuan asmara dikendalikan oleh sekurang-kurangnya dua orang lelaki Afrika dan isteri atau teman wanitanya rakyat tempatan untuk mencari mangsa di kalangan wanita Thai menerusi platform temu janji dalam talian dan laman media sosial seperti Facebook.

Beliau berkata lelaki itu akan menyamar sebagai lelaki kulit putih dan berkawan dengan mereka yang berpotensi untuk dijadikan mangsa dan menjalin hubungan rapat sebelum memujuk wanita berkenaan menghantar wang secara dalam talian untuk membayar cukai bagi penghantaran hadiah mewah.

Sekiranya si mangsa merasa syak, isteri atau teman wanita lelaki itu akan menyamar sebagai pegawai polis atau pegawai daripada syarikat penghantaran dan meminta mangsa membayar caj penghantaran tersebut.

“Sedih apabila melihat rakyat tempatan terjerumus dalam perangkap penipuan asmara ini,” katanya.

Archayon berkata selain penipuan asmara, rakyat Thai juga terdedah kepada “penipuan pusat panggilan” di mana si penipu memperdayakan mangsa untuk menyerahkan wang tunai mereka melalui panggilan palsu.

Archayon berkata sejak Dis 2017 hingga Mei tahun ini rakyat Thai telah ditipu sejumlah 260.4 juta baht oleh sindiket pusat panggilan ini.

“Kami telah mengembalikan 25.7 juta baht kepada 125 mangsa,” katanya sambil menambah 551 suspek telah ditahan.

Bagaimanapun, Archayon berkata jumlah pusat panggilan palsu di negeri ini berkurangan dengan ketara ekoran operasi besar-besaran di seluruh negara serta operasi bersama dengan rakan sejawat di rantau ini.

Beliau berkata sebanyak 356 pusat panggilan penipuan dilaporkan tahun lepas manakala dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini cuma enam yang dilaporkan.

Archayon mengakui banyak sindiket panggilan penipuan gemar beroperasi di Thailand kerana ia sempurna bagi orang asing – makanan enak, rumah sewa yang murah, infrastruktur yang bagus, undang-undang fleksibel serta senang untuk menyembunyikan diri daripada pihak berkuasa.

“Sejak kami melancarkan operasi besar-besaran di seluruh negara serta operasi bersama rakan-rakan kami, sindiket pusat panggilan tempatan dan antarabangsa telah mengubah pusat operasi mereka dari negara ini ke negara jiran yang sasaran mangsa dari negara berkenaan,” katanya.

Beliau menambah bahawa golongan wanita, berpendidikan, profesional dan mereka yang memegang jawtaan tinggi di sektor swasta dan awam selalu menjadi sasaran kerana mereka fikir tidak mudah untuk diperdayakan.

“Mereka tidak meminta nasihat atau pertolongan daripada kawan atau keluarga,” katanya. – BERNAMA


Pengarang :