BERITA UTAMASELANGOR

Masjid Taman Seri Muda lokasi terakhir jelajah Ramadan DYMM Sultan Selangor

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 29 MEI: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan berangkat mencemar duli menyempurnakan perasmian Masjid Taman Seri Muda serta menyampaikan bantuan Aidilfitri kepada asnaf Negeri Selangor di Seksyen 25, Shah Alam.

Baginda yang tiba sekitar jam 6.10 petang bersama Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah disambut Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari dan barisan kepimpinan Kerajaan Negeri.

Masjid Taman Seri Muda adalah masjid terakhir yang dikunjungi Sultan Saharafuddin bagi siri Jelajah Ramadan bersama rakyat Selangor 2019.

Pembinaan Masjid Taman Seri Muda bermula pada pertengahan 2011 dan siap sepenuhnya pada Jun 2013 dengan penyerahan kunci berlangsung pada 5 Julai 2013.

Ia ini dibina bagi menggantikan Masjid Al Falah di atas sebidang tanah Lot 35212 berkeluasan 2.27 ekar dengan kos RM6.25 juta.

Lokasi strategik masjid dua tingkat di tengah bandar ini sering dijadikan tempat persinggahan untuk solat dan berehat.

Berkonsepkan masjid dalam taman, seni rekanya menggabungkan seni reka masjid di Turki dan Asia Barat dengan kedudukan dua khubah serta satu menara.

Mampu memuatkan sehingga 2,500 jemaah dalam satu-satu masa, Masjid Taman Seri Muda turut dihiasi corak kaligrafi khufi di bahagian luaran tingkat atas dan bawah sementara bahagian dalaman dihiasi tulisan seni khat ayat-ayat Al-Quran.

Dalam majlis sama, Sultan Sharafuddin turut berkenan menyampaikan sumbangan Aidilfitri kepada 289 penerima yang terdiri daripada 80 asnaf fakir, 150 asnaf miskin dan 59 asnaf muallaf.


Pengarang :