SELANGOR

Cadang jadikan Taman Air Manis projek CSR

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 7 MEI: Isu projek pembangunan perumahan di Taman Air Manis, Panchang Bedena, Sabak Bernam dicadang dijadikan sebagai projek tanggungjawab sosial korporat (CSR).

Perkara itu dikemukakan Ketua Pegawai Eksekutif Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) Selangor, Raja Shahreen Raja Othman sebagai pemberi keterangan dalam sesi pendengaran awam oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (SELCAT).

Raja Shahreen berkata, projek itu sepatutnya dijadikan CSR memandangkan 80 peratus daripadanya bercirikan Rumah Selangorku.

“Untuk memulihkan atau mengurangkan kos projek ini, saya rasa wajar jika ia dijadikan sebagai projek CSR.

“Malah, ia juga dapat dijadikan sebagai sumbangan Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) kepada Kerajaan Negeri,” katanya yang juga Pengarah PNSB.

Beliau berkata demikian ketika memberi penerangan dalam sesi pendengaran awam oleh SELCAT, di Bangunan Annex, di sini, hari ini.

Mengulas berkenaan pembangunan projek itu sama ada sudah lama diketahui atau tidak, Raja Shahreen berkata, beliau cuma mengetahui kawasan itu mahu dibangunkan sebagai pembinaan Rehat dan Rawat (R&R).

“Saya difahamkan kawasan itu mahu dibina R&R memandangkan tidak terdapat tempat rehat sepanjang laluan terbabit.

“Namun, saya dimaklumkan juga adanya permintaan untuk membuat rumah mampu milik, namun bagi saya agak kurang tepat untuk membangunkan kediaman sebegitu kerana kawasannya di luar bandar,” katanya.

Projek pembangunan yang dirancang pada 2013 untuk dibangunkan di Taman Air Manis berkeluasan 10.11 hektar adalah milik PNSB.

Difahamkan, projek perumahan itu terdiri 260 unit rumah dijual pada harga antara RM100,000 hingga RM250,000 seunit.

Berdasarkan pelan asal pembangunan, turut dibina berhampiran kawasan perumahan itu ialah R&R dengan 10 gerai, 67 unit kedai dan stesen minyak.

Namun, sehingga kini hanya terdapat enam rumah contoh sahaja di situ dan belum wujud sebarang pembinaan hingga hari ini.

 


Pengarang :