SELANGOR

Tiada istilah terbengkalai projek Taman Air Manis

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 8 MEI : Tiada istilah terbengkalai terhadap projek pembangunan perumahan di Taman Air Manis, Panchang Bedena, Sabak Bernam, kata Dato’ Sri Ahmad Omar.

Ketua Pegawai Eksekutif Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) berkata, projek terbabit belum dibina dan istilah terbengkalai tidak seharusnya dijadikan modal memandangkan belum wujud sebarang pembangunan di situ.

Katanya, kelewatan projek itu sehingga memakan masa hampir 10 tahun berpunca daripada ketidakfahaman dalam segelintir kumpulan pelaksana.

“Saya memuji tindakan SELCAT (Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan) memanggil PNSB dan agenssi berkaitan untuk memberi penjelasan berhubung projek di Taman Air Manis.

“Selama ini kita tidak pernah dipanggil SELCAT, namun bagi saya hal ini seharusnya dipuji kerana panggilan ini mengingatkan kita supaya perjalanan syarikat berada pada landasan yang sepatutnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Media Selangor selepas sesi pendengaran awam berkenaan isu projek Pembangunan Perumahan di Taman Air Manis oleh SELCAT, di Bangunan Annex, di sini.

Mengulas sama ada PNSB akan membina rumah atau rehat dan rawat (R&R), Ahmad mengakui keputusan awal Majlis Mesyuarat Kerajan Negeri (MMKN) pada 2009 menyatakan akan membinanya.

Namun, katanya, selepas pihak pengurusan PNSB membuat kajian, kawasan itu tidak sesuai dibangunkan R&R atas sebab tertentu.

“Bagaimanapun, keputusan itu bergantung kepada MMKN sama ada tetap dengan perancangan asal mahu membina R&R atau rumah mampu milik sahaja,” katanya.

Pendengaran awam itu dijalankan ekoran wujud aduan rasmi kepada SELCAT berhubung projek terbabit yang tiada gerak kerja sejak 10 tahun lalu.


Pengarang :