BERITA UTAMANASIONAL

Tolak ekstremis dan perkauman-Dr Wan Azizah

KUALA LUMPUR, 18 MEI: Rakyat diseru untuk bangkit bersama membangunkan Malaysia Baharu kerana ia perlu mengambil masa dan tidak dapat dicapai dalam sekelip mata.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, Malaysia Baharu yang sedang dibentuk adalah hasil kerjasama setiap rakyat dan menolak segala bentuk ekstremis agama serta perkauman.

“Malaysia Baharu adalah mengenai kita bersama. Malaysia Baharu yang sedang dibentukkan adalah hasil kerjasama setiap kita rakyat Malaysia.

“Kita menolak semua bentuk ekstremis agama dan perkauman. Itulah formula Malaysia kita. Saya doakan supaya formula ini dapat diteruskan dan diperkukuhkan,” katanya pada perutusan sempena Hari Wesak yang disambut esok.

Katanya, tempoh setahun kerajaan Pakatan Harapan memerintah adalah masa yang sangat singkat untuk melihat perubahan ketara berbanding kerajaan dulu yang berkuasa selama 61 tahun.

“Anda semua membawa kekecewaan anda kepada kotak mengundi dan telah menulis sejarah dengan menukar kerajaan buat pertama kalinya sejak Malaysia mencapai kemerdekaan.

“Saya faham harapan adalah tinggi dan perubahan yang diingini dijangka dapat dicapai dengan cepat,” katanya.

Dr Wan Azizah turut mendoakan setiap rakyat Malaysia mengetepikan sebarang perbezaan demi kebaikan menyeluruh dan tidak ketinggalan mengucapkan selamat menyambut Hari Wesak kepada penganut agama Buddha.

Hari Wesak yang akan disambut esok adalah bagi menandakan tiga peristiwa penting dalam kehidupan Buddha iaitu hari lahir beliau, kesedaran dan kematiannya.

Ia antara festival paling meriah dengan perarakan kereta berhias yang diserikan dengan hiasan dan bunga berwarna-warni.

-BERNAMA


Pengarang :