NASIONAL

ABIM gesa siasatan menyeluruh kes Orang Asli

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 11 JUN: Kerajaan digesa melaksanakan siasatan menyeluruh dan menghentikan aktiviti pembalakan, perlombongan serta pembangunan di kawasan hutan susulan kejadian menimpa Orang Asli daripada suku Bateq di Kampung Kuala Koh, Gua Musang.

Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Mohamad Raimi Ab Rahim berkata, hak Orang Asli perlu dipelihara memandangkan mereka adalah sebahagian daripada rakyat Malaysia.

Katanya, tragedi yang menimpa masyarakat berkenaan perlu menyedarkan semua pihak bahawa usaha memartabatkan orang Asli perlu dilakukan secara menyeluruh.

“ABIM juga menggesa siasatan menyeluruh dilakukan pada setiap aktiviti berkenaan untuk menilai kesannya pada alam sekitar khususnya terhadap Orang Asli.

“Tragedi di Kuala Koh, Gua Musang ini menyedarkan kita betapa pentingnya memelihara ekologi alam sekitar yang menjadi kediaman majoriti masyarakat Orang Asli,” katanya dalam kenyataan.

Mohamad Raimi turut menggesa supaya pendidikan dan kesedaran Orang Asli ditingkatkan khususnya dalam aspek kepentingan vaksinasi dan kelestarian alam sekitar.

Katanya, selain itu pengukuhan kemudahan asas seperti kesihatan, kesihatan, elektrik dan liputan internet serta telefon turut diperkukuhkan dalam kalangan golongan itu.

“Isu memartabatkan status pemilikan tanah Orang Asli perlu diberikan perhatian supaya kedudukan mereka lebih jelas menerusi kaca mata perundangan selain dapat menghalang tragedi serupa daripada berulang pada masa akan datang.

“ABIM menggesa rakyat Malaysia melihat tragedi ini dengan kaca mata kepentingan menjaga alam sekitar untuk memahami kesan negatif eksploitasi keterlaluan terhadap alam sekitar dalam kehidupan manusia,” katanya.

Terdahulu, insiden di Kampung Kuala Koh itu mengakibatkan dua daripada 14 Orang Asli yang meninggal dunia disahkan berpunca daripada radang paru-paru.


Pengarang :