NASIONAL

Kerajaan akan lihat syor gaji polis pangkat rendah

PUTRAJAYA, 11 JUN: Kerajaan akan melihat syor Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador supaya gaji anggota polis berpangkat rendah dinaikkan, kata Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Nanti kita fikirlah,” katanya secara ringkas pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi di Perdana Putra, di sini hari ini.

Abdul Hamid dalam wawancara khas bersama Bernama semalam berkata gaji, logistik dan keperluan anggota polis berpangkat rendah akan diberi keutamaan dalam usaha meningkatkan integriti pasukan itu.

Beliau berkata gaji yang diperoleh golongan berkenaan iaitu daripada Sarjan ke bawah adalah rendah dan tidak mampu menampung kos sara hidup terutama bagi mereka yang bertugas di bandar-bandar besar.

Abdul Hamid berkata beliau berharap kerajaan menimbangkan perkhidmatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebagai istimewa memandangkan mereka dibebankan dengan satu kuasa yang cukup luas dan berbahaya.

-BERNAMA

 


Pengarang :