NASIONAL

Beri Latheefa masa buktikan kebolehannya – Baru Bian

KUCHING, 8 Jun : Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (MACC) yang baru dilantik Latheefa Beebi Koya perlu diberikan peluang untuk membuktikan kebolehannya, kata Menteri Kerja Raya, Baru Bian.

Baru, yang juga pengerusi PKR Sarawak berkata adalah penting pada akhirnya orang ramai mahu melihat SPRM yang berkesan kerana integriti, sikap neutral dan kredibiliti untuk mendakwa adalah penting.

“Kita perlu beri Latheefa sedikit masa untuk membuktikan dirinya… Yang lebih penting orang yang mengetuai institusi berkenaan mestilah jelas tentang fokus dan kebertanggungjawaban.

“Saya kenal beliau (Latheefa) selaku peguam pengamal dan saya fikir, dari segi itu, beliau amat layak mengetuai SPRM,” kata Baru, yang juga seorang peguam Hak Adat Pribumi, kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat Pakatan Harapan (PH) Sarawak di sini hari ini.

Beliau berkata pelantikan itu merupakan prerogatif Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan dari segi undang-undang adalah betul.

Pelantikan Latheefa untuk tempoh dua tahun berkuatkuasa 1 Jun, diumumkan tiga hari lalu selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Latheefa menggantikan Datuk Seri Mohd Shukri Abdull, yang membuat keputusan memendekkan kontrak perkhidmatannya. -BERNAMA


Pengarang :