EKONOMI

Bursa Malaysia dibuka rendah susulan pengambilan untung

KUALA LUMPUR, 24 Jun : Bursa Malaysia dibuka rendah pada Isnin berikutan aktiviti pengambilan untung susulan kenaikan pada minggu lepas.

Pada 9.05 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 4.47 mata kepada 1,677.76 daripada 1,682.23 ketika ditutup pada Jumaat lepas.

Indeks itu dibuka 2.95 mata lebih rendah kepada 1,679.28.

Kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 104 berbanding 96, manakala 154 kaunter tidak berubah, 1,546 kaunter tidak diniagakan dan 45 yang lain digantung.

Jumlah dagangan pada 66.37 juta saham bernilai RM36.96 juta.

Malacca Securities Sdn Bhd berkata FBM KLCI semakin terlebih beli susulan kenaikan baru-baru ini, yang sebahagian besarnya berbaloi dan mencatatkan kenaikan pada saat-saat akhir bagi saham terpilih.

“Oleh itu, kami berpandangan kenaikan baru-baru ini adalah berlebihan dan peluang belian selepas saham mengalami pergerakan harga menaik telah berakhir,” menurutnya dalam nota penyelidikan hari ini.

Justeru itu, ia menjangkakan indeks utama mencatatkan semula pergerakan menurun kepada paras 1,675 dan 1,670.

Firma penyelidikan itu juga menjangkakan aliran kurang memberangsangkan dalam kalangan saham FBM Small Cap, FBM Fledgling dan FBM ACE akan kekal sebagai faktor berlarutan daripada paras rendah pada Mei.

Secara keseluruhannya, Malacca Securities menetapkan paras rintangan masing-masing pada 1,690 dan 1,700 mata.

Penganalisis lain berkata para pelabur juga memantau menjelangnya pertemuan antara Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump dan Presiden China Xi Jinping pada Sidang Kemuncak G20 minggu ini di Jepun.

Selain itu, pelabur juga berhati-hati dalam keadaan ketegangan antara Washington dan Teheran selepas Pengawal Revolusi Iran menembak jatuh pesawat pengintipan tanpa pemandu AS pada Khamis.

Bagaimanapun, beliau berkata sentimen tempatan kekal utuh disokong oleh kenyataan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa Malaysia boleh mencapai pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar melebihi 5.0 peratus tahun ini walaupun unjuran semasa antara 4.8 peratus dan 4.9 peratus.

Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, Maybank susut satu sen kepada RM8.93, Public Bank turun 16 sen kepada RM22.90, Tenaga kurang 12 sen kepada RM13.78 dan Petronas Chemicals merosot empat sen kepada RM8.52.

Bagi saham didagangkan secara aktif, Pegasus Heights turun setengah sen kepada satu sen manakala SMTrack dan Greatech Technology masing-masing menokok satu sen kepada 20.5 sen dan RM1.03.

Indeks FBM Emas turun 33.83 mata kepada 11,815.68, Indeks FBMT 100 kurang 36.09 mata kepada 11,667.92 dan Indeks FBM Emas Syariah susut 33.09 mata kepada 12,177.33.

FBM 70 turun 65.67 mata kepada 14,633.43 manakala FBM Ace naik 5.73 mata kepada 4,403.07.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 39.77 mata kepada 16,706.79, dan Indeks Barangan dan Perkhidmatan Industri kurang 0.46 mata kepada 161.66 dan Indeks Perladangan kurang 1.18 mata kepada 7,018.36. -BERNAMA


Pengarang :