PBTSELANGOR

Rebut RM3,000 cipta Logo PJ Bandar Pembelajaran UNESCO

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 24 JUN: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) menganjurkan Pertandingan Mencipta Logo Petaling Jaya Bandar Pembelajaran Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO) dengan mempertaruhkan hadiah wang tunai bernilai RM3,000.

Dua pemenang sagu hati juga berpeluang memenangi hadiah ganjaran berupa wang tunai bernilai RM1,000.

MBPJ dalam kenyataannya memaklumkan, program itu diadakan sempena pengiktirafan Petaling Jaya sebagai salah satu daripada 10 bandaraya yang berjaya menerima anugerah UNESCO Learning City Award, pada tahun ini.

Katanya, ia juga bagi memberi peluang kepada masyarakat untuk mengambil bahagian mewujudkan logo baharu ‘Petaling Jaya Bandaraya Pembelajaran 2019’.

“Penyertaan dibuka mulai 20 Jun hingga 22 Julai (Isnin) jam 12 tengah hari.

“Pertandingan ini terbuka kepada warganegara Malaysia yang bermastautin di Petaling Jaya dan setiap peserta boleh menghantar sebanyak mana penyertaan yang dia mahu,” katanya.

Sehubungan itu, individu berminat merebut peluang ini perlu mengisi borang pertandingan secara imbasan Kod QR (Quick Response Code) yang terdapat di poster iklan.

Borang penyertaan lengkap perlu dihantar ke emel [email protected] dengan menyertakan nama penuh, nombor kad pengenalan, alamat dan nombor telefon.


Pengarang :