Hormati keputusan Dr Mahathir – Mukhriz | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang

Aishah Amin

Hormati keputusan Dr Mahathir – Mukhriz

ARAU, 9 Jun : Setiap pihak hendaklah menerima dan menghormati keputusan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung pelantikan Latheefa Beebi Koya sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baharu, kata Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir.

Mukhriz, yang juga Menteri Besar Kedah, berkata Latheefa sendiri tidak boleh sesuka hati melepaskan jawatan walaupun didesak pelbagai pihak termasuk daripada parti komponen Pakatan Harapan.

“Tuan punya badan (Latheefa) tidak boleh berundur kerana lantikan beliau adalah daripada Perdana Menteri dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong. Mana boleh senang-senang dah lantik dia terus suruh berundur,” katanya ketika ditemui pemberita pada Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran Bersatu Bahagian Arau di kediaman bekas Menteri Besar Perlis, Tan Sri Dr Abdul Hamid Pawanteh di sini, hari ini.


Menegaskan pelantikan itu seharusnya tidak dipertikaikan oleh mana-mana pihak, Mukhriz berkata: “Tun Dr Mahathir dah kata semalam muktamad. Kita harus menghormati keputusan Perdana Menteri. Lantikan Latheefa itu tidak harus dipersoal dan kita perlu beri peluang kepada dia untuk menjalankan tugas yang sangat berat.

“Beliau (Mahathir) sentiasa mendengar daripada semua pihak. Keputusan telah dibuat. Saya kira ia bukan satu jawatan yang mudah. Beliau melihat Latheefa lebih layak memegang jawatan itu,” kata Mukhriz.

Pelantikan Latheefa sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu untuk tempoh kontrak dua tahun berkuat kuasa 1 Jun lepas diumumkan Pejabat Perdana Menteri pada 4 Jun, mendapat pelbagai reaksi daripada banyak pihak.

Latheefa menggantikan Datuk Seri Mohd Shukri Abdull, yang memohon untuk memendekkan perkhidmatan kontraknya lebih awal, sebelum ia tamat pada 17 Mei 2020. -BERNAMA

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

BERITA BERKAITAN

Prev
Next