Indonesia berduka, jenazah Ani Yudhoyono disemadi di Makam Pahlawan | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang

Naeem Raffi

Indonesia berduka, jenazah Ani Yudhoyono disemadi di Makam Pahlawan

JAKARTA, 2 JUN: Indonesia berduka, menjelang beberapa hari sambutan Aidilfitri, meratapi pemergian bekas wanita pertama, Ani Yudhoyono, isteri kepada Presiden ke-6, Susilo Bambang Yudhoyono (SBY).

Jenazah Ani Yudhoyono, 66, disemadikan di Taman Makam Pahlawan Nasional Utama, Kalibata, jam 2.55 petang waktu Indonesia Barat (WIB), dengan penuh istiadat pemakaman ketenteraan, yang dihadiri Presiden Indonesia Joko Widodo (Jokowi), bekas presiden ketiga, BJ Habibie dan bekas presiden kelima, Megawati Soekarnoputri.

Allahyarham, yang pernah menerima penganugerahan tertinggi negara Indonesia iaitu Bintang Jasa Adipradana pada 2011 atas jasanya sebagai wanita pertama Indonesia, diberikan penghormatan terakhir, dengan istiadat pemakaman ketenteraan itu turut disiarkan secara langsung televisyen tempatan.


Allahyarham Ani Yudhoyono menghembus nafas terakhir jam 11.50 pagi semalam, di National University Hospital Singapura, selepas menjalani rawatan kanser darah sejak Februari lepas.

Jenazah dibawa pulang malam tadi menggunakan pesawat tentera Indonesia ke Jakarta, sebelum dibawa ke Puri Cikeas, Bogor, kediaman bekas presiden bagi tempoh 2004 hingga 2014 itu kira-kira 11 malam WIB.

Bakal Duta Besar Malaysia di Indonesia, Zainal Abidin Bakar turut menziarahi jenazah dan keluarga Allahyarham di Puri Cikeas, menzahirkan takziah Malaysia, atas kehilangan besar rakyat Indonesia itu.

Jenazah disembahyangkan dengan diimamkan Ma’ruf Amin, (pasangan kepada Presiden Jokowi bagi jawatan naib presiden pada Pilihan Raya Presiden Indonesia 2019) di Puri Cikeas, sebelum disemadikan di Kalibata.

Sejak semalam, kediaman SBY, Ketua Umum Parti Demokrat itu diziarahi Presiden Jokowi dan ramai pemimpin politik, menzahirkan kedukaan mereka dan bersilaturrahim ketika “suhu politik agak dingin” selepas pasca keputusan Pilihan Raya Indonesia dan rusuhan di Jakarta baru-baru ini.

– BERNAMA

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

BERITA BERKAITAN

Prev
Next