NASIONAL

JPJ nafi hanya empat kamera AWAS berfungsi

KUALA LUMPUR, 6 JUN: Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ) menyangkal laporan sebuah portal berita yang mendakwa hanya empat kamera Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS) berfungsi.

JPJ dalam satu kenyataan hari ini menyataka, semua 41 kamera AWAS masih dalam keadaan baik dan sedang beroperasi.

“Pengoperasian beberapa kamera AWAS ditangguhkan sementara waktu kerana telah terlibat dengan kemalangan dan melibatkan kerja-kerja pendawaian serta pemasangan semula,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu turut memaklumkan setakat Mei 2019, sebanyak 169,051 saman dikeluarkan sejak sistem AWAS diambil alih JPJ.

Selain itu, JPJ menyangkal dakwaan kononnya JPJ tiada kepakaran untuk menjalankan pengoperasian kamera AWAS.

Portal berita itu melaporkan hanya empat kamera AWAS masih beroperasi daripada keseluruhan 45 unit yang ada di seluruh negara selepas JPJ mengambil alih operasinya sejak September tahun lalu.

– BERNAMA


Pengarang :