Selangorkini
NASIONAL

Kabinet bincang memorandum jaminan kerajaan RM2 bilion pinjaman SRC

KUALA LUMPUR, 18 JUN: Mahkamah Tinggi di sini diberitahu Kabinet telah membincangkan memorandum bertajuk “Jaminan Kerajaan Sehingga RM2 billion Untuk Pinjaman SRC International Sdn Bhd” dalam dua mesyuarat jemaah menteri.

Bekas Timbalan Ketua Setiausaha (Kabinet) Bahagian Kabinet Perlembagaan dan Perhubungan, Tan Sri Mazidah Abdul Majid berkata, memorandum itu, yang diterima daripada Kementerian Kewangan, dibincangkan dalam dua Mesyuarat Jemaah Menteri yang dipengerusikan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 17 Ogos 2011 dan 8 Februari 2012.

Beliau berkata memorandum itu bertujuan mengesyorkan kepada Jemaah Menteri untuk menimbang dan bersetuju supaya kerajaan memberikan jaminan kepada SRC International Sdn Bhd, anak syarikat 1Malaysia Development Berhad yang dimiliki sepenuhnya oleh Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) untuk memperoleh pinjaman sehingga RM2 bilion daripada sumber pasaran atau institusi kewangan domestik.

“Tempoh pinjaman sehingga 10 tahun bertujuan membiayai aktiviti pelaburan dalam sektor sumber asli. Pemberian jaminan ini adalah selaras dengan Akta Jaminan Pinjaman (Pertubuhan Perbadanan) 1965.

“Jaminan adalah meliputi bayaran balik pokok dan faedah supaya SRC diberikan pengecualian cukai dan duti setem atas pinjaman tersebut selaras dengan Seksyen 10 Akta Jaminan Pinjaman (Pertubuhan Perbadanan) 1965 dan supaya menteri kewangan diberi kuasa untuk menentukan terma-terma dan syarat-syarat pinjaman tersebut,” katanya.

Mazidah, yang merupakan saksi ke-40 pendakwaan, berkata demikian ketika membacakan pernyataan saksi pada hari ke-27 perbicaraan kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd membabitkan Najib.

Turut dinyatakan dalam memorandum itu ialah asas-asas pertimbangan bagi jaminan pinjaman RM2 bilion oleh SRC, implikasi kewangan berkaitan jaminan kerajaan, kesimpulan dan syor.

Turut terkandung ialah latar belakang syarikat 1MDB dan SRC serta tujuan penubuhannya.

Najib, 66, didakwa atas tiga pertuduhan pecah amanah, satu pertuduhan salah guna kedudukan dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Perbicaraan berlangsung di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali. – BERNAMA


Pengarang :

Related posts

Gamis: Hari Malaysia disambut pendaratan tentera Amerika?

Azmin, Guan Eng laksana tugas dengan baik

NOW: Jangan biar dana MARA terus diseleweng

admin