BERITA UTAMANASIONAL

Kehadiran tiga gas dikesan di Pasir Gudang

PUTRAJAYA, 28 Jun : Tiga gas dikesan dalam insiden gangguan kesihatan di Pasir Gudang termasuk gas metil merkaptan, yang kehadirannya satu anomali atau di luar kelaziman, kata Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Yeo Bee Yin.

Dua lagi gas yang turut dikesan adalah akrilonitril dan akrolein, katanya.

Menurut Yeo, akibat persekitaran udara yang tepu di Pasir Gudang, sebarang anomali sedemikian akan memberi kesan kepada kumpulan yang berisiko tinggi seperti kanak-kanak dan penghidap asma.

“Bagaimanapun, ketiga-tiga gas ini tidak dikesan dalam sampel darah dan air kencing 10 pesakit daripada lapan buah sekolah yang telah dianalisis,” katanya dalam sidang bersama Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad mengenai perkembangan insiden gangguan kesihatan di Pasir Gudang, di sini hari ini.

Yeo berkata kementeriannya telah mengambil langkah segera untuk melupuskan faktor-faktor penyumbang kepada kehadiran gas-gas tersebut, serta meneruskan usaha penguatkuasaan dan pemantauan ke atas kilang berasaskan bahan kimia di sekitar Pasir Gudang.

Pada ketika ini, Pasir Gudang mempunyai 2,005 buah kilang berlesen dan 250 daripadanya adalah kilang berasaskan bahan kimia.

Yeo berkata berkata tidak ada pengesahan 100 peratus mengenai sebab dan akibat kejadian itu.

“Sepuluh yang dimasukkan ke hospital dari lapan sekolah berbeza, jadi ini suatu yang jarang berlaku, tidak seperti kes Sungai Kim Kim yang boleh ditentukan sumber dan menjelaskan sumbernya, dan ini kerana dalam air kencing dan darah, mereka semua tidak boleh kesan,” katanya

“Sebagai langkah berjaga-jaga, kita telah pun melupuskan semua faktor-faktor yang menyumbang kepada gas yang menjadi anamoli dan kita buat yang terbaik untuk menurunkan apa-apa (pengetahuan) yang kita tahu sebagai anamoli,” katanya, sambil menambah kerajaan Negeri Johor dan pasukan kementeriannya masih meneruskan pemantauan dan kualiti udara serta gas yang dilepaskan di sana.

“Terdapat langkah yang perlu diambil dengan segera. Tetapi saya tidak boleh menjadi sangat tidak bertanggungjawab serta ‘berkata dan membuat drama dengan (menyatakan telah) mengeluarkan sesuatu dan memberitahu anda semua selamat’.

“Saya perlu memberitahu anda, Pasir Gudang mempunyai asas kualiti udara yang lebih tercemar berbanding bahagian lain di Malaysia. Jadi itulah yang kita tahu,” katanya.

Sementara itu, Dzulkefly berkata sejak 20 Jun hingga hari ini, seramai 748 orang telah menerima rawatan iaitu 709 dirawat sebagai pesakit luar dan 39 lagi dimasukkan ke wad.

“Empat pesakit masih di dalam wad iaitu tiga di Hospital Sultan Ismail dan satu di Hospital Regency.

“Tiada kes dimasukkan ke ICU (Unit Rawatan Rapi) dan tiada kematian dilaporkan,” katanya.

Semalam, katanya empat kes baru dilaporkan dan kesemuanya telah mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Pasir Gudang.

“Buat masa ini keputusan sampel klinikal pesakit bagi ujian kimia seperti hidrogen sianida, sianida, hidrogen tiosinida dan bahan organik yang tidak menentu adalah negatif,” katanya.

Dzulkefly berkata enam daripada 10 pesakit yang berusia antara 10 hingga 17 tahun didapati telah mengalami simptom keresahan yang dikesan melalui ujian ‘Depression Anxiety Stress Scales’.

Tiga daripada mereka adalah pelajar yang terlibat di dalam insiden Sungai Kim Kim yang lepas, katanya.

Beliau berkata kesemua enam pelajar itu akan diberikan rawatan susulan dan dirujuk kepada pakar psikiatri kanak-kanak bagi mengetahui punca sebenar gejala tersebut.

Berdasarkan sejarah pendedahan, manifestasi gejala serta penilaian psikososial dan taburan sekolah yang terlibat, tiada kejadian ‘mass psychogenic hysteria’ yang dilaporkan, katanya.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya segera mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan terdekat sekiranya mengalami gejala sesak nafas, loya, muntah, pening, sakit kepala, kekejangan otot dan lemah badan. -BERNAMA


Pengarang :