Ujian vaksin Covid-19 fasa ketiga akan menguji sama ada ia dapat ‘melindungi sejumlah besar orang dalam jangka masa panjang’.
NASIONAL

Kelantan akan guna khidmat guru agama, penghulu beri kesedaran pentingnya vaksin

KOTA BHARU, 24 Jun : Kerajaan Negeri akan menggunakan khidmat guru agama dan penghulu dalam kalangan Orang Asli di Kampung Kuala Koh, Gua Musang bagi memberi kesedaran akan kepentingan vaksin kepada penduduk di sana.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, mengikut maklumat yang diperoleh faktor kepada penularan jangkitan demam campak dalam komuniti Orang Asli suku Batek, di Gua Musang baru-baru ini disebabkan tiada pengambilan vaksin.

“Sikap masyarakat Orang Asli ini kebanyakan mereka menolak vaksin, dan jika ada yang menerima pun mereka tidak mengambil vaksin mengikut jadual imunisasi,” katanya kepada pemberita selepas hadir merasmikan International Young Muslimah Forum (AL-YOUM) di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO negeri Wan Roslan Wan Hamat dan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita negeri, Mumtaz Md Nawi.

Mohd Amar berkata, kerajaan telah melantik penghulu kampung beberapa tahun yang lalu dan juga guru agama dalam kalangan penduduk Orang Asli melalui kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bagi membimbing mereka berkaitan agama.

“Kita harap mereka akan membantu untuk memberi kesedaran dan nasihat kepada penduduk di sana mengenai kepentingan vaksin dan menerima vaksin bagi mengelak peristiwa seperti ini berulang pada masa akan datang,” katanya.

Terdahulu media melaporkan, antara faktor penyumbang kepada penularan jangkitan demam campak dalam komuniti Orang Asli suku Batek, Kampung Kuala Koh, Gua Musang, Kelantan adalah liputan imunisasi measles yang rendah iaitu hanya 61.5 peratus bagi suntikan dos pertama vaksin Measles-Mumps-Rubella (MMR) dan 30 peratus bagi suntikan dos kedua.

Dalam perkembangan yang sama, Mohd Amar berkata, Kerajaan Negeri bersedia membantu apa sahaja yang diperlukan oleh penduduk di sana.

“Kita akan bantu apa sahaja yang diperlukan, namun sehingga kini pihak kami masih tidak terima mana-mana permohonan bantuan.

“Lagipun isu campak ini isu spesifik bagi jabatan dan Kementerian Kesihatan sahaja, mengikut kepakaran masing-masing, jadi kita harap ia tidak berlarutan dan berjangkit kepada lebih ramai,” katanya. -BERNAMA


Pengarang :