ALOR SETAR, 8 Jun — Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad (tiga, kanan) diiringi Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran Menteri Besar dan isteri di Dewan Seri Mentaloon hari ini. –fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA
BERITA UTAMANASIONAL

Lebih 30,000 pengunjung hadir rumah terbuka MB Kedah

ALOR SETAR, 8 Jun : Lebih 30,000 orang menghadiri majlis rumah terbuka bersempena Hari Raya Aidilfitri anjuran Menteri Besar dan isteri di Dewan Seri Mentaloon di sini, hari ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir dan isteri Tok Puan Norzieta Zakaria menyambut kedatangan pengunjung yang mula membanjiri perkarangan kediaman rasmi itu sejak pukul 11 pagi.

Turut hadir Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik, Menteri di Jabatan Perdana Menteri P. Waytha Moorthy dan beberapa barisan Exco Kerajaan Negeri Kedah.

Pengunjung yang datang dari Kedah dan negeri lain turut disajikan dengan pelbagai hidangan antaranya sate, nasi briyani, apom lenggang serta kuih muih yang disediakan di gerai makanan di dalam dan luar dewan.

Mukhriz ketika berucap berkata, dia gembira dengan kehadiran pengunjung yang begitu ramai yang datang dari jauh dan dekat pada majlis itu kerana ia dilihat dapat terus menunjukkan semangat perpaduan rakyat di negeri ini.

“Ramai yang datang tidak kira agama, kaum, tua dan muda dan ini dapat membuktikan semangat perpaduan kaum di negeri ini masih kuat. Kerajaan Negeri dengan sokongan Kerajaan Persekutuan akan terus melakukan yang terbaik buat rakyat Kedah dan kesemuanya sekali.

“Jadi, kami mohon supaya rakyat terus memberi sokongan, dokongan dan kerjasama dalam menjayakan apa juga dasar dan strategi yang akan dilaksanakan pada masa hadapan,” katanya. -BERNAMA

 


Pengarang :