Selangorkini
NASIONAL

MATRADE padankan syarikat minyak & gas Malaysia dengan pembeli asing

KUALA LUMPUR, 16 JUN: Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) akan memadankan lebih 40 syarikat Malaysia dalam sektor minyak dan gas dengan pembeli asing minggu depan melalui Program Penyumberan Antarabangsa (INSP).

INSP akan diadakan sempena Pameran Kejuruteraan Minyak, Gas dan Petrokimia Asia Ke-17 (OGA) 2019, yang akan diadakan pada 18-19 Jun di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Dalam kenyataan, agensi promosi perdagangan itu berkata program tersebut merupakan usaha untuk mengukuhkan penyertaan perusahaan kecil dan sederhana Malaysia dalam rantaian bekalan global.

OGA adalah antara acara minyak dan gas terbesar di Asia dan dianggap sebagai platform yang baik untuk mempamerkan teknologi, peralatan dan jentera yang terkini dalam bidang kejuruteraan minyak, gas dan petrokimia.

Tahun ini merupakan kali kedua MATRADE menyertai acara dwitahunan itu, selepas 2015.

Edisi INSP pada tahun ini, MATRADE akan membawa bersama 10 syarikat dari Vietnam, Myanmar, Emiriah Arab Bersatu, Qatar, Pakistan, Belanda, Amerika Syarikat dan Nigeria ke acara itu.

Pada INSP anjuran MATRADE di OGA 2015, jualan sebanyak RM182.6 juta dicatatkan, kata Jai Shankar, Pengarah Minyak & Gas di Seksyen Kimia dan Tenaga MATRADE.

“Kami berharap penyertaan pada tahun ini akan menjana keputusan yang baik bagi syarikat Malaysia,” katanya.

MATRADE berkata sesi pertemuan perniagaan menjadi pemangkin yang menjimatkan kos bagi syarikat Malaysia untuk berhubung dan meninjau peluang perdagangan melalui pertemuan perniagaan yang diatur dengan pembeli berkualiti tinggi diperoleh daripada pangkalan data pembeli pejabat globalnya.

Agensi itu mempunyai lebih dua dekad pengalaman menyelaraskan padanan perniagaan yang berkesan antara perniagaan Malaysia dan pembeli asing. – BERNAMA


Pengarang :