SUKANKINI

Mitchell Cheah terus cemerlang, raih podium sulung

 

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 12 JUN: Pelumba kereta negara, Mitchell Cheah meneruskan rentak lebih cemerlang dalam saingan ADAC TCR Germany Touring Car Championship apabila meraih podium sulung selepas menduduki tempat kedua dalam perlumbaan pusingan kelima di litar Red Bull Ring, Austria minggu lalu.

Kemenangan dalam saingan ketiga musim 2019 ini adalah rentetan daripada kejayaan meraih gelaran ‘rookie’ selepas mempamerkan aksi cemerlang di Republik Czech.

Mitchell, 21, dari VW Team Oettinger membuktikan kewibawaannya sekali lagi di Spielberg dengan catatan masa 32:55.853 menerusi jentera Volkswagen.

Beliau yang merupakan produk pembangunan bakat Litar Antarabangsa Sepang (SIC) berkata, kemenangan itu akan menjadi batu loncatan buatnya untuk meraih lebih banyak kejayaan pada perlumbaan seterusnya.

“Saya begitu teruja kerana berjaya berada di kedudukan kedua sekaligus dapat mendaki podium buat kali pertama dalam saingan ini.

“Satu perasaan yang sukar digambarkan dengan kata-kata namun saya akan terus melakukan yang terbaik untuk cuba menjadi juara selepas ini. Terima kasih kepada semua yang terlibat,” katanya dalam kenyataan.

Tempat pertama dimenangi Harald Proczyk yang memandu Hyundai dari pasukan HP Racing International dengan catatan 32:54.097 manakala pemandu jentera Audi dari MLS Racing, Antti Buri, ketiga selepas mencatatkan 32:56.175.

Bagaimanapun, Mitchell mengakui kecewa apabila gagal mengulangi kecemerlangan pada perlumbaan kedua bagi pusingan keenam selepas dikenakan penalti ketika menduduki tempat kedua.

“Saya bermula dengan baik dalam perlumbaan kedua, saya bermula di kedudukan ketujuh dan berjaya berada di kedudukan ketiga sebelum kenderaan keselamatan keluar.

“Selepas perlumbaan bersambung, saya di kedudukan kedua dan peluang untuk memenangi perlumbaan memang ada sehinggalah pegawai perlumbaan membuat keputusan di mana saya perlu pandu lalu penalti.

“Ia sesuatu yang tidak dapat dielakkan dan saya perlu menerimanya walaupun sukar. Sudah tentu kejayaan menaiki podium akan menjadi satu pemangkin semangat buat saya untuk meneruskan kecemerlangan serta aksi yang lebih konsisten dalam baki perlumbaan akan datang,” katanya.


Pengarang :