SELANGOR

PAWE Subang Jaya manfaatkan masa lapang warga emas

OLEH IZRIN MOHAMAD SAID

SUBANG JAYA, 11 JUN: Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Subang Jaya kini diwujudkan selaras matlamat kerajaan untuk memanfaatkan masa lapang warga emas di setiap kawasan parlimen.

Ahli Dewan Negeri Subang Jaya, Michelle Ng berkata, penubuhan melalui Kelab Warga Emas Subang Jaya itu berjaya mendapat pengesahan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), pada April lalu.

“PAWE Subang Jaya akan menerima RM80,000 sebagai dana pertubuhan dan RM20,000 sebagai dana operasi tahun ini, manakala pada tahun hadapan akan menerima RM33,300.

“Menerusi dana ini, saya yakin bahawa boleh meluaskan pengaruh untuk membawa kesan positif juga kualiti hidup kepada warga emas di kawasan ini,” katanya pada sidang media Majlis Pelancaran PAWE Subang Jaya di Kelab Warga Emas USJ 6, di sini hari ini.

Hadir sama, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh; Ahli Parlimen Subang Jaya, Wong Chen; Pengarah Kebajikan Masyarakat Selangor, Mohammad Hanafi Maulud dan Pengerusi PAWE, Yang Chor Leong.

Michelle berkata, program berkenaan dilaksanakan di seluruh negara bagi mengeratkan hubungan antara warga emas dan generasi muda.

“Difahamkan, penduduk asal yang menduduki kawasan ini selama 25 sehingga 30 tahun. Jika kita anggap umur 25 sebagai umur rumah mereka dibeli, maka ramai dalam kalangan mereka sudah mencapai umur 50 tahun.

“Oleh itu, pusat ini memainkan peranan penting khususnya dalam peningkatan populasi warga emas di Subang Jaya,” katanya.


Pengarang :