NASIONAL

Satu PAWE, satu Parlimen bagi warga emas terus aktif – Wan Azizah

KUCHING, 29 Jun : Kerajaan akan meneruskan usaha menambah bilangan Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) dengan sasaran satu PAWE, satu Parlimen di seluruh Negara bagi menggalakkan warga emas terus aktif, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Wan Azizah, yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, berkata melalui Rolling Plan ketiga Rancangan Malaysia ke-11, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) diperuntukkan sebanyak RM5 juta bagi mewujudkan 47 buah PAWE baharu yang akan memberi manfaat kepada lebih ramai warga emas.

Ini menjadikan 135 buah PAWE keseluruhannya dengan 38,627 warga emas telah mendapat manfaat melalui program dan aktiviti PAWE.

“Sarawak adalah negeri yang mempunyai paling banyak PAWE berbanding negeri lain dan kerajaan telah meluluskan peruntukan tambahan bagi penubuhan dua buah PAWE baharu, iaitu PAWE Petra Jaya dan PAWE Sibuti, menjadi semuanya 13 buah,” katanya ketika merasmikan Program Santuni Pakyat peringkat Sarawak di Mydin Petra Jaya di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita dan Pembangunan Kanak-Kanak Sarawak, Datuk Seri Fatimah Abdullah.

Wan Azizah berkata, Kerajaan Persekutuan juga memperuntukkan RM82.9 juta pada tahun ini kepada JKM Sarawak bagi membantu warga emas menerusi Bantuan Orang Tua (BOT) dengan 22,000 penerima di negeri ini.

Merujuk kepada statistik Jabatan Perangkaan Malaysia pada 2018, beliau berkata hampir 11 peratus bilangan penduduk di Sarawak adalah warga emas, yang berumur lebih 60 tahun iaitu 306,800 orang berbanding 2.79 juta populasi.

Ini bermaksud, menjelang 2030, peratus penduduk warga emas di negeri ini dijangka meningkat kepada 16 peratus dengan anggaran 526,300 orang berbanding unjuran populasi 3.29 juta, katanya.

Di peringkat nasional, Malaysia akan menjadi sebuah negara tua menjelang 2030 di mana 15 peratus daripada penduduk negara ini terdiri daripada warga emas.

Beliau berkata, perubahan demografi itu akan memberi implikasi besar kepada aspek sosial serta ekonomi dan persiapan awal bagi penyediaan ke arah pencapaian status negara tua memerlukan komitmen dan kolaborasi sepenuhnya di setiap peringkat termasuk Kerajaan Persekutuan dan negeri, komuniti dan warga emas sendiri.

-BERNAMA

 


Pengarang :