Selangorkini
NASIONAL

Tanah runtuh Pulau Pinang: Identiti tiga mangsa dikenal pasti

 

GEORGE TOWN, 26 JUN: Identiti tiga daripada empat mangsa dalam kejadian tanah runtuh di tapak binaan tembok penahan tanah di Jalan Batu Ferringhi, Tanjung Bunga dekat sini, semalam telah dikenal pasti.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Che Zaimani Che Awang berkata, tiga lelaki warga Myanmar itu di kenal pasti sebagai Nai Cho Inn, 49, dan Maung Htwe, 38, iaitu mayat pertama serta ketiga ditemui dalam kejadian berkenaan manakala mayat kedua hanya dikenali sebagai Ong, 40-an.

“Pengecaman tiga lelaki itu dibuat oleh pengurus resort berkenaan yang mereka (mangsa) membuat kerja sambilan membina benteng penghadang tanah runtuh sejak seminggu lepas,” katanya di sini malam ini.

Katanya, mayat seorang lagi lelaki juga warga Myanmar masih belum dapat dikenal pasti dan pihak polis juga sedang berusaha mengesan anggota keluarga atau kenalan mangsa bagi membuat pengecaman.

Beliau berkata, pihak polis juga sedang dalam proses menghubungi anggota keluarga mangsa untuk tindakan selanjutnya.

Che Zaimani berkata, bedah siasat mendapati empat pekerja asing itu mati disebabkan kecederaan parah di beberapa bahagian badan terutama kepala serta dada akibat tertimbus dalam tanah runtuh.

“Polis juga telah merekodkan keterangan daripada pelbagai pihak terutama pekerja di resort itu bagi membantu siasatan dan setakat ini kes tersebut disiasat sebagai kematian mengejut,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira 9.25 malam Selasa itu, empat warga Myanmar dikhuatiri maut dalam kejadian tanah runtuh di tebing Jalan Batu Ferringhi.

Kesemua mangsa diupah oleh pemilik sebuah resort di situ untuk membina tembok penahan tanah selepas mendapati berlaku pergerakan tanah sejak seminggu lalu.

– BERNAMA

 

 


Pengarang :

Related posts

MPK roboh premis beroperasi secara haram

admin

Rumah Impian Bangsa Johor bukti harga rumah mampu diturunkan

Mohd Ezli Mashut

Serantau Muslim ke Palu bantu mangsa musibah

Mohd Naeem Mohamad Raffi