SUKANKINI

TSSC berlangsung 24 Ogos, terima penajaan hampir RM1.7 juta

 

OLEH AFIX REDZUAN

KLANG, 27 JUN: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menerima sumbangan tajaan Piala Sultan Selangor (TSSC) edisi ke-18 bagi tahun 2019 yang dijadualkan berlangsung 24 Ogos hadapan dengan jumlah keseluruhan hampir RM1.7 juta.

Penyerahan sumbangan berlangsung di Istana Alam Shah, Klang pada Majlis Minum Petang Piala Sultan Selangor 2019.

Stesen televisyen RTM yang diwakili Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo diumumkan sebagai penyiar rasmi TSSC bagi edisi kali ini.

Kerajaan Negeri Selangor yang diketuai Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari dan syarikat-syarikat berkaitan Negeri Selangor (GLC) menyerahkan sumbangan bernilai RM579,999.99.

Amirudin turut menyampaikan sebiji bola kepada Sultan Sharafuddin sebagai simbolik sumbangan peribadi 200 biji bola yang akan diberikan kepada penonton untuk TSSC kali ini.

Syarikat pemaju hartanah, Tanjung Balai Group yang menaja TSSC buat tahun keenam berbesar hati menjadi penaja utama berjumlah RM380,000 serta hadiah utama cabutan bertuah, sebuah kereta Honda City bagi tahun kedua.

Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) masing-masing menyumbang RM100,000 manakala Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) Waste Management turut meneruskan tajaan berjumlah RM99,999.99.

Untuk pertama kali, Rasniaga Sdn Bhd turut menjadi penaja dengan menyumbang sebuah motosikal Harley Davidson 833 Iron sebagai hadiah cabutan bertuah.

Hotel Marriot Kota Kinabalu turut menjadi penaja untuk kali ketiga dengan sumbangan RM50,000 serta tajaan hadiah cabutan bertuah ketiga bagi edisi kali ini iaitu percutian tiga hari dua malam di Hotel Marriot Kota Kinabalu untuk dua orang.

Ecoworld Development Sdn Bhd, Splash Sdn Bhd, Pemerbadanan Menteri Besar (MBI), Kumpulan Semesta, Nirvana Memorial Park dan Aiman Platinum Sdn Bhd masing-masing turut menyumbang RM50,000.

Tidak ketinggalan, Setia Awan Group yang turut menaja TSSC buat pertama kali dengan jumlah RM50,000.

TSSC 2019 akan berlangsung di Stadium Shah Alam dengan tiket perlawanan dijual pada harga RM10 turut melayakkan pembeli menyertai acara cabutan bertuah.

Tiket boleh dibeli sebulan sebelum tarikh perlawanan berlangsung di Kedai Uncle K di Pusat Membeli Belah SACC Shah Alam, Paradigm Mall, Kelana Jaya dan Cyberjaya serta di Stadium Shah Alam pada hari perlawanan.

TSS bakal menampilkan aksi pertembungan Pasukan Veteran Selangor dan Veteran Singapura pada jam 8.00 malam disusuli perlawanan Pilihan Selangor menentang Pilihan Singapura.

Piala ‘Singapore-Selangor Schools Challange Cup’ Bawah-15 tahun pula akan terlebih dahulu dilangsungkan pada jam 5.30 petang dan bakal dirasmikan Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.

Antara pemain ternama yang bakal beraksi adalah Amri Yahyah, Faiz Nadir, Syahmi Safari dan Taylor Regan.


Pengarang :