SELANGOR

Waste Warriors iktiraf pencinta alam

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 26 JUN: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) melancarkan kempen Waste Warriors bertujuan mengiktiraf orang awam yang mempratikkan gaya hidup tanpa plastik dalam rutin harian mereka.

Datuk Bandar Petaling Jaya, Dato’ Mohd Sayuthi Bakar berkata, kempen yang dijalankan skuad dari Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam MPBJ itu akan melakukan rondaan di sekitar daerah berkenaan bagi mengenal pasti individu terbabit.

“Individu yang dikenal pasti berjaya melakukan amalan itu akan digelar sebagai Waste Warrior dan diberi sagu hati seperti token, baju-t, sijil dan foto yang akan dimuat naik ke dalam media sosial MBPJ.

“Malah, saya difahamkan juga terdapat peniaga dan penduduk yang sudah mengamalkan aktiviti tidak menggunakan plastik sekali guna dalam kalangan masyarakat Petaling Jaya. Hari ini, kita berbesar hati mengiktiraf mereka, tahniah saya ucapkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Kempen Bebas Plastik MBPJ, di Ibu Pejabat MBPJ, di sini hari ini.

Mohd Sayuthi berkata, rondaan akan dilakukan di sekitar Petaling Jaya membabitkan pasar, medan selera, premis makanan, pusat membeli-belah, pasar raya, sekolah, agensi kerajaan dan swasta.

Selain itu, katanya, inisiatif itu juga bertujuan menyahut seruan Kerajaan Negeri yang mengumumkan larangan pengunaan beg plastik sekali guna di semua premis agensi kerajaan termasuk pihak berkuasa tempatan mulai 1 Julai ini.

“Selaras dengan itu, MBPJ menyahut saranan terbabit melalui pelancaran kempen bebas plastik sekali guna dengan inisiatif menggalakkan orang ramai tidak lagi menggunakan plastik,” katanya.


Pengarang :