PBTSELANGOR

180 peserta kontinjen Gombak galas misi dalam SUKSES 2019

GOMBAK, 23 JUL: Seramai 180 peserta pasukan Kontinjen Daerah Gombak menggalas misi penting dalam lapan acara di Kejohanan Sukan Selangor (SUKSES) Sepang sempena Tahun Melawat Sepang 2019, bermula semalam hingga 10 Ogos ini.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Dato’ Abd Hamid Hussain berkata, antara acara sukan dipertandingkan ialah memanah, badminton, bola keranjang, boling padang, tenpin boling, petanque, olahraga dan sepak takraw.

“Pada edisi ke-12 SUKSES, kontinjen daerah Gombak mendapat tempat keenam daripada sembilan daerah yang bertanding dengan pungutan pingat 16 emas, 27 perak dan 45 gangsa.

“Bagi merealisasikan pencapaian dalam kejohanan kali ini, semua pasukan menetapkan sasaran sebanyak 18 pingat emas. Saya amat berharap supaya jumlah pungutan pingat ini dapat melebihi daripada apa disasarkan setiap pasukan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen Daerah Gombak Ke SUKSES kali ke-13 di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Melawati di sini, baru-baru ini.

Abd Hamid berkata, sebanyak RM85,678.40 diperuntukkan bagi perbelanjaan keseluruhan persiapan kontinjen daerah terbabit, pada edisi kali ini.

“Majlis Sukan Negeri Selangor memperuntukkan sebanyak RM50,000 setiap daerah. Tambahan daripada jumlah perbelanjaan itu adalah daripada peruntukan Majlis Sukan Daerah Gombak sebanyak RM22,735.40.

“Manakala MPAJ memberi peruntukan pakaian kontinjen sebanyak RM12,943 dan membantu menyediakan keperluan logistik untuk kegunaan atlet,” katanya.


Pengarang :