AGENDANASIONAL

Anwar patut bela Azmin demi KEADILAN utuh

SHAH ALAM, 18 JULAI: Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim sewajarnya mempertahankan Timbalan Presidennya, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali demi memelihara muafakat utuh parti itu.

Ahli Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN melalui kenyataan berkata, Anwar tidak sepatutnya cuba menggasir kedudukan beliau dalam kerajaan tanpa asas kukuh.

Katanya, selaku presiden, Anwar wajar menyorot kembali asas perjuangan reformasi dengan seluruh kepimpinan dan anggota KEADILAN berdiri teguh mempertahankan beliau dari fitnah jahat yang menggunakan video seks sebagai alat politik.

“Walaupun pada 2011, ketika itu Ketua Polis Negara mengumumkan bahawa video seks itu adalah tulen, namun Mohamed Azmin secara konsisten mempertahankan Anwar dan keluarganya selama lebih 20 tahun daripada semua tuduhan ‘gutter politics’,” kata kenyataan itu.

Kenyataan yang dibuat 22 ahli Majlis Pimpinan Pusat itu turut berpendirian bahawa kenyataan Anwar yang menggesa Mohamed Azmin harus meletakkan jawatan jika video seks berkenaan sahih adalah tidak berasas dan hanya berdasarkan spekulasi semata-mata.

Katanya, presiden sewajarnya memberikan kepimpinan jelas terhadap persoalan utama untuk membanteras komplot politik jahat bagi menjatuhkan timbalan presiden.

“Beliau juga harus fokus kepada perlakuan jenayah konspirator yang secara terancang menularkan video seks yang jijik dengan niat jahat.

“Kita hairan kerana ketika video fitnah ini ditularkan, beliau mengeluarkan pandangan yang berbeza dengan mengatakan bahawa Mohamed Azmin tidak perlu melepaskan jawatannya,” katanya.

Kenyataan bersama empat Ahli Parlimen itu turut menggesa Anwar supaya berhenti daripada mengeluarkan sebarang kenyataan yang memecah belah kesatuan parti.

“Kami menyeru Presiden untuk segera menggembleng perpaduan anggota demi keutuhan KEADILAN, Pakatan Harapan dan negara yang tercinta ini,” katanya.


Pengarang :