PENDAPATRENCANA

Hentikan perang di Yaman serta-merta

Kami mendesak perang di Yaman dihentikan serta-merta dan menghentikan operasi militari serta menarik keluar semua anggota tentera dari negara itu.

Cadangan Bin Salman untuk membahagikan kawasan kawalan kepada Utara dan Selatan tidak bermakna.

Hanya satu jalan keluar, iaitu tentera luar hendaklah keluar dari Yaman dan pampasan kepada rakyat Yeman hendaklah dilunaskan.

Keputusan Emirat untuk mengurangkan tenteranya di Yaman bukan sahaja dialu-alukan, malah satu- satunya cara penyelesaian.

Pihak tentera dari negara lain juga sewajarnya mengikut langkah Emirat.

Perang Yaman ini sudah tidak lagi berhasil mencapai apa-apa melainkan kehancuran dan penderitaan.

Kawasan Teluk Parsi itu kini tidak stabil akibat perang yang menghancurkan semua prasarana awam.

Adalah logik Emirat merasa beban menanggung kos membiaya perang ini sangat tinggi.

Mike Hindmarsh, seorang pesara mejar jeneral Australia, komander kawalan Presiden Emirat mengaku perang Yaman ini gagal.

Pihak Houthi berjaya menunjukkan pelawanan berkesan terhadap serangan tentera koalisi Saudi, malah mereka mendapat jolokan “Yemeni Viet Cong”.

Penggerak utama perang itu ialah Arab Saudi dan Emirat yang kini terpaksa menanggung kos perang yang sangat tinggi.

Kempen menyerang Yemen di bawah Arab Saudi bermula Mac 2015, dan sehingga kini keadaan semakin parah.

Tentera di bawah Arab Saudi mengumumkan kononnya hendak menyelesaikan perang ini dengan pantas dan berkesan dalam hanya beberapa minggu sahaja.

Akan tetapi sehingga hari ini, perang itu berlarutan.

Kami mengutuk tentera gabungan Saudi yang mengebom kawasan kediaman dan prasarana awam, juga menyerang ketika acara perkahwinan serta pengkebumian sedang berlangsung.

Serangan Saudi membunuh dan mencedera puluhan ribu rakyat awam.

Laporan Armed Conflict Location and Event Data Project (ACLED), sebuah badan kajian konflik perang pada Disember 2018 menyatakan perang yang dicetuskan Saudi itu meragut lebih 60,000 nyawa di Yaman, sejak Januari 2016.

Save the Children, sebuah badan kebajikan pula melaporkan lebih 84,700 kanak-kanak di bawah umur 5 tahun mati kebuluran sejak serangan brutal tentera koalisi Saudi ke atas Yaman yang sememangnya sudah sedia negara miskin.

Kami mendesak negara barat menghentikan menjual senjata kepada Arab dan Emirat yang menyerang Yaman dan mengakibat kesengsaran 28 juta rakyat negara itu yang sangat berat sehingga PBB menyifatkan Yaman kini sebagai “krisis kemanusiaan terbesar di dunia”

Menurut badan dunia itu, Yaman menderita kebuluran terburuk sejak 100 tahun, malah panel PBB mengumpul laporan, mangsa serangan Saudi adalah akibat tentera di bawah gabungan Saudi itu mengguna serangan tepat ke atas rakyat awam.

Kenyataan oleh Mohd Azmi Abdul Hamid (Presiden MAPIM)


Pengarang :